DUA belas jasad dibawa dari Hospital Sultan Imauddin dan kemudian diterbangkan ke Surabaya dengan Hercules Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU). FOTO Shahrul Redzuan
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Surabaya: Keutamaan pemeriksaan ke atas mayat tragedi pesawat AirAsia Indonesia lebih ditumpukan kepada pengecaman bukan bedah siasat.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kesihatan Indonesia, Nila Djuwita F Moeloek yang memberitahu pengecaman diutamakan supaya mangsa lebih cepat diserahkan kepada keluarganya.

Menurutnya, keutaaman pengecaman berbanding bedah siasat supaya waris mangsa dapat segera mengetahui ia adalah keluarga mereka atau tidak.

"Bedah siasat ke atas mayat tetap dilakukan untuk mengetahui punca kejadian namun tidak kepada semua. Sehingga ini, hanya dilakukan ke atas juruterbang, pembantunya dan sebahagian penumpang.

"Untuk mengetahui punca kecelakaan tidak semestinya hanya melalui bedah siasat kerana ada pelbagai kaedah lagi boleh digunakan," katanya pada sidang media.

Sementara itu, di Jakarta, polis menegaskan bedah siasat terhadap jenazah juruterbang, Iriyanto dan pembantunya, Remi Emmanuel Plesel, serta beberapa penumpang bagi tujuan siasatan.

Anggota Forensik dari Fakulti Kedoktoran Universiti Indonesia, Prof Budi Sampurna berkata, proses itu tidak membabitkan semua dan dilakukan atas kepentingan siasatan.

Ketua Polis Daerah Jawa Timur (Jatim) Budiono turut menegaskan maklumat sama dan hanya dilakukan dengan persetujuan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 4:58 PM