Shahril jaringkan gol pertama ketika menentang China di Liga Hoki Dunia, Stadium Hoki Maulana Bhasani, Dhaka, hari ini.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia apabila menewaskan China menerusi penentuan penalti shoot-out 5-3 selepas kedua-kedua pasukan terikat 2-2 tamat masa sebenar, hari ini.

Berlangsung di Stadium Hoki Maulana Bhasani, Dhaka, skuad negara bagaimanapun ketinggalan dua gol selepas berakhir dua suku pertama.

Du Talake menjaringkan gol pertama untuk China hasil pukulan sudut penalti minit ke-15 sebelum Su Jun menambah tekanan untuk Malaysian Tigers dengan gol kedua menerusi jaringan padang minit ke-22.

Penyerang negara Shahril Saabah akhirnya melegakan skuad negara apabila merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti minit ke-46.

Muhammad Najmi Farizal Jazlan berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti minit ke-55 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out.

Dengan layak ke final, skuad negara juga memperoleh slot automatik ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang bakal berlangsung di London pada Jun atau Johannesburg, Julai ini.

Separuh Akhir Liga Hoki Dunia cukup penting kerana ia menawarkan tiket ke Piala Dunia 2018 di New Delhi, India.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 8:35 PM