PEMAIN Bayern Thiago Alcantara (kanan) cuba mengatasi pemain Arsenal Granit Xhaka pada aksi Liga Juara-Juara.
AFP

London: Arsene Wenger terus dibebani tekanan dan kali ini pengurus Arsenal itu menjadi sasaran kelab kerdil Lincoln yang mahu mencipta lebih banyak sejarah pada perlawanan suku akhir Piala FA, malam ini.

Wenger melalui minggu penuh derita yang bermula apabila Arsenal tewas 1-3 kepada Liverpool berikutan tindakannya menggugurkan bintang Alexis Sanchez yang dilaporkan mendesak meninggalkan kelab itu dalam pertengkaran selepas kekalahan berkenaan.

Keadaan menjadi lebih buruk Rabu lalu apabila Arsenal tersingkir penuh aib daripada Liga Juara-Juara susulan kemenangan Bayern Munich 5-1 yang memberikan Wenger kekalahan terbesar di laman sendiri sejak 1998.

Wenger, yang masih belum mendedahkan sama ada beliau akan terus mengendalikan kelab itu musim depan, menjadi sasaran kemarahan penyokong Arsenal yang menggesanya meletak jawatan dan kunjungan pasukan bukan liga Lincoln belum pasti menjanjikan ketenangan buat pengurus kelahiran Perancis itu.

Dengan satu lagi protes penyokong dirancang untuk perlawanan di Stadium Emirates itu, kekalahan mengejut dalam aksi Piala FA pastinya akan menjadi penamat buat Wenger.

“Saya berkerja keras sepanjang tempoh 20 tahun untuk membuat peminat kami gembira dan apabila anda tewas, saya faham mereka tidak gembira,” kata Wenger.

“Saya tidak mahu menilai protes itu, saya tidak mampu. Saya berkerja bukan kerana menjaga imej. Saya bekerja untuk kelab ini dengan komitmen penuh.”

Perbezaan ketara di antara tarikan global Arsenal dan cita-cita tinggi Lincoln berpotensi menjatuhkan Wenger yang menjuarai Piala FA enam kali sepanjang mengendalikan kelab itu.

Kelab divisyen kelima kendalian Danny Cowley adalah pasukan bukan liga pertama mara ke suku akhir dalam tempoh 103 tahun susulan kemenangan 1-0 ke atas pasukan Liga Perdana Burnley pada pusingan kelima.

Ditanya sama ada Lincoln mampu menyertai Sutton, Hereford dan Wrexham sebagai skuad ‘pembunuh gergasi’ paling popular dalam Piala FA, Cowley, seorang guru manakala abangnya Nicky yang menjadi penolong pengurus, berkata: “Ya, kami boleh. Kebarangkaliannya mungkin satu dalam 1,000 di Emirates tapi kami boleh.

“Kami faham Arsenal akan membelasah kami. Kami boleh menampilkan aksi terbaik tapi masih boleh tewas 0-5.

“Kami profesional dan bersedia. Kami mungkin mampu memberi kejutan.”

Pada awal pagi Selasa, pengurus Manchester United Jose Mourinho mahu memadamkan antara kenangan paling pahit dengan menamatkan misi Chelsea memburu dua gelaran.

United dibelasah 0-4 di Chelsea pada Oktober dan Mourinho diejek penyokong lamanya sebaik pulang buat kali pertama sejak dipecat daripada jawatan pengurus Blues musim lalu.

Ditanya sama ada Mourinho yang menjulang Piala Liga mahu membalas dendam, penyerang United Marcus Rashford: “Ya sudah tentu. Mereka menewaskan kami sebelum ini.

“Kami berada di tahap terbaik dan begitu juga mereka, jadi ia pasti perlawanan yang menarik.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 6:38 AM