HARRIF (kiri) menangi peringkat ketiga JM 2016.
Azlan Muhhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kapten Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Zamri Saleh berharap isu wang kemenangan Jelajah Malaysia (JM) 2016 dapat diselesaikan segera.

“Sebagai pelumba, saya cuma menaruh harapan pihak penganjur mampu menyelesaikan wang kemenangan yang sepatutnya diperoleh pelumba.

“Kami sudah mengerah keringat untuk berlumba dan berharap ia dihargai dengan ganjaran dijanjikan,” katanya.

TSG menerusi Mohd Harrif Saleh memenangi satu daripada lima peringkat perlumbaan yang berlangsung Oktober tahun lalu.

JM 2016 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM178,450 adalah perlumbaan yang dianjurkan Peloton Resources serta tersenarai dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Arena Metro semalam melaporkan gesaan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kepada Peloton Resources supaya segera menyelesaikan wang kemenangan kepada pasukan bertanding kerana sudah melebihi tempoh tiga bulan yang ditetapkan mengikut peraturan.

Tambah Zamri, jumlah yang kecil atau besar bukan persoalan kerana wang kemenangan seharusnya dibayar seperti ditetapkan.

“Saya berharap pihak penganjur dapat mencari jalan penyelesaian terbaik supaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik.

“Situasi ini turut mencerminkan imej Malaysia di luar negara. Kita tidak mahu Malaysia dipandang negatif,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 6:11 AM