Penguat kuasa menyerbu sebuah rumah yang dijadikan lokasi memproses serta menjual air ketum. FOTO ihsan AADK
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Pendang: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis menyerbu dua kediaman masing-masing di Taman Muhibah dan Kampung Banggol Petai, di sini, kelmarin, selepas ia dijadikan tempat memproses dan menjual air ketum.

Operasi bersepadu membabitkan 15 penguat kuasa AADK dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang itu bermula jam 8.45 malam.

Pihak berkuasa berjaya menahan dua suspek serta merampas air ketum bernilai RM500.

Ketua Pegawai AADK Pendang, Mohd Fauzi Noen berkata, dalam serbuan di Taman Muhibah, pihaknya menahan lelaki berusia 49 tahun dan menemui air ketum yang disimpan dalam lapan botol.

"Kita turut menemui satu periuk besar berisi air rebusan ketum.

"Dalam satu lagi serbuan, kita menahan suspek berusia 52 tahun kerana dipercayai terbabit memproses dan menjual air ketum di Kampung Banggol Petai," katanya ketika dihubungi tadi.

Mohd Fauzi berkata, pemeriksaan menemui 22 bungkus plastik air ketum dan kedua-dua mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 8:06 PM