Calon-calon SPM di Maktab Sabah, Kota Kinabalu pada hari pertama peperiksaan berkenaan, tahun lalu. FOTO Izhari Ariffin
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 akan dikeluarkan pada Khamis minggu depan.

Menerusi kenyataan Kementerian Pendidikan, pada peperiksaan itu, seramai 434,535 calon mendaftar untuk menduduki SPM di 3,732 pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 377,194 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, 9,094 adalah calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian ini manakala, seramai 7,931 sekolah menengah negeri.

“Seterusnya, seramai 12,847 calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, 25,713 calon persendirian manakala, baki 1,756 calon sekolah menengah agama rakyat,” menurut kenyataan itu hari ini.

Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM di sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi pada hari yang sama manakala, calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.

Katanya, calon boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2016 melalui mySMS 15888 dan ia diaktifkan bermula jam 10 pagi pada 16 Mac dan akan tamat jam 6 petang pada 22 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 6:39 PM