Mudar selepas mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka Tengah, hari ini.
Salman Hamat
am@hmetro.com.my


Melaka: Warga Filipina Mudar Hayde, 30, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Lelaki berasal dari Pulau Basilan itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa di depan Majistret Analia Kamarudin.

Selain penjara, Analia yang memandang serius kesalahan dilakukan tertuduh mengarahkan pemuda itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut Pertuduhan Mudar didakwa memiliki MyKad palsu atas nama Kamal Shukry Abdullah, menggunakan nombor 770506-12-5419 beralamat di No 180 RH Murah PRKT 111, Kampung Likas 89400 Likas, Sabah, di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Melaka jam 3.30 petang, Selasa lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka Mohd Nasrom Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 5:23 PM