Honda Jazz Nazima yang hilang dicuri. FOTO ihsan Nazima
Mohd Hanafis Abd Haris
hanafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pada awalnya dia menyangka keretanya disorok oleh kakaknya yang berkemungkinan mahu bergurau.

Bagaimanapun, keretanya benar-benar hilang. Itu nasib Nazima Salwa Rahmat Ali, 30, yang hilang kereta Honda Jazz selepas dilarikan pencuri kelmarin.

Bagaimanapun, kejadian berlaku di Kondominium Taman Melawati itu hanya disedari Nazima kira-kira 7.55 pagi semalam.

“Ketika saya menyangka kakak menyembunyikan kereta saya untuk bergurau, dia memberitahu tidak menggunakan kereta itu. Lama juga saya di tempat parkir kerana saya tidak percaya kereta dicuri penjenayah.

“Bagaimanapun, saya akhirnya akur apabila pemeriksaan lanjut di rumah mendapati kunci pendua kenderaan sudah hilang termasuk sebuah komputer riba dan tabung berisi wang kira-kira RM600,” kata Nazima ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Nazima, sebelum kejadian berkenaan, dia yang tinggal di kondominium itu bersama kakaknya keluar ke tempat kerja kira-kira 10 pagi dan sempat memeriksa semua pintu dan tingkap berkunci.

“Pencuri mungkin memasuki rumah antara jam 10 pagi hingga 8 malam kerana ketika saya dan kakak keluar bekerja,” katanya.

Menurut Salwa, dia kemudian membuat laporan Polis di Balai Taman Melawati, di sini, untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

“Selain itu saya juga turut memuat naik status berhubung insiden ini di Facebook (FB) bagi menghebahkannya di laman sosial bertujuan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kenderaannya itu,” katanya.

Menurutnya, dia hanya sempat menggunakan kenderaan itu hanya dalam tempoh enam bulan saja apabila Honda Jazz terbabit dibeli pada Ogos tahun lalu.

“Sekarang ini, saya bagaikan ‘patah kaki’ apabila terpaksa meminta pertolongan kakak dan rakan untuk ke tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan akan dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Kondominium.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 9:41 PM