Restoran yang dijadikan lokasi menjual nombor ekor kepada orang Islam. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Enam lelaki termasuk seorang pesara kerajaan ditahan dalam operasi judi di restoran di Kemaman, semalam.

Enam lelaki berusia 45 hingga 65 tahun itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam serbuan kira-kira jam 1.30 tengah hari atas maklumat awam.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, siasatan mendapati seorang lelaki berusia 45 tahun sanggup berdepan risiko ditahan pihak berkuasa dengan mengambil upah membeli nombor ekor untuk kaki judi selepas tertarik dengan upah ditawarkan.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang dipercayai sibuk membeli nombor ekor yang dikirim beberapa kaki judi tidak menyedari kehadiran penguat kuasa.

"Kita turut merampas beberapa keping kertas nombor ekor di tangannya dan menahan seorang lagi lelaki dipercayai baru selesai membeli nombor ekor.

"Empat lagi lelaki pula mendakwa datang ke premis berkenaan hanya untuk minum dan membeli rokok.

"Semua yang ditahan dibawa ke pejabat JHEAT untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 7:13 PM