Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang pegawai polis dan tujuh anggota polis mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas pelbagai tuduhan rasuah.

Mereka adalah Asisten Superintendan Mohamad Zafrul Zulkifli, 37; Lans Koperal Mohamad Hasirun Abu Hassan, 29; Lans Koperal Mohd Saffuan Mat Salleh, 31; Lans Koperal Sokongan Muhammad Huzzaini Esman, 29; Koperal Abd Rahim Yusak, 60; Koperal Mohd Hafis Hafizi Azhari, 26; Koperal Azuan Khalid, 49; dan Koperal Zulazri Idris, 37.

Di hadapan Hakim Allaudeen Ismail, Mohamad Zafrul dan Mohamad Hasirun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi masing-masing telah secara rasuah meminta untuk diri mereka daripada Kway Phone Naing suapan wang tunai masing-masing RM2,000 dan RM1,500 sebagai dorongan untuk melepaskan Nang Cherry yang disyaki memiliki kad UNCHR palsu.

Manakala Mohd Saffuan dan Muhammad Huzzaini dari bahagian yang sama didakwa dengan niat bersama memperoleh suapan wang tunai RM1,500 daripada mangsa sama sebagai dorongan melakukan perbuatan sama.

Di hadapan Hakim Madihah Harullah, Abd Rahim dan Mohd Hafis Hafizi didakwa dengan niat bersama meminta suapan wang tunai RM1,500 daripada Alif Faisal Amran sebagai dorongan menyelesaikan saman trafik yang dikeluarkan terhadapnya atas kesalahan memandu dengan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans serta tidak menahan Mohd Hariz Zaifan Mohd Zanua yang mempunyai rekod orang yang dikehendaki polis.

Abd Rahim juga didakwa menerima wang tunai RM100 manakala Mohd Hafis Hafizi didakwa menyetuju terima RM500 daripada mangsa yang sama untuk tujuan sama.

Sementara itu di hadapan Hakim Azura Alwi, Azuan didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya wang tunai RM3,000 dan memperoleh wang tunai RM500 daripada Mohd Shahrunizad Sahar sebagai dorongan untuk melepaskan tiga pekerja warga Indonesia yang tidak memiliki pas lawatan kerja sementara.

Dia juga bersama Zulazri didakwa menyetujui terima wang tunai RM1,500 daripada mangsa sama.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM5,000 hingga RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac, 10 April dan 12 April ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 2:13 PM
Pegawai dan tujuh anggota polis yang dituduh rasuah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali