PENONTON yang terdiri dalam kalangan siswa.
PENGULAS bagi kejohanan League of Legends.
SISWA bertanding dalam permainan League of Legends.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Kalau kita lihat e-sukan sebelum ini tertumpu kepada orang awam, lain pula senarionya sekarang apabila pelajar di universiti turut diberi peluang mengasah bakat dalam industri berkenaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Namun, itu semua pastinya tidak akan menjadi kenyataan jika tiada penggerak industri berani berbuat demikian.

Oleh itu, Garena, syarikat pengguna Internet terbesar Asia Tenggara baru-baru ini mengumumkan satu inisiatif iaitu Garena Student Alliance (GSA) dengan harapan membangunkan komuniti diterajui siswa yang menjiwai industri permainan video kompetitif.

Objektif utama GSA adalah menggalakkan siswa menubuhkan kelab e-sukan di bawah naungan universiti masing-masing.

Bagi memastikan mereka lengkap dengan maklumat dan ilmu untuk menguruskan kelab, Garena mengadakan latihan khas yang mendedahkan pelajar kepada aspek pengurusan kelab di kampus, penganjuran kejohanan, penyediaan cadangan, strategi pemasaran dan perkembangan e-sukan antarabangsa.

Presiden kelab turut berpeluang menjalani sesi latihan bersama Garena bagi memastikan mereka bersedia untuk menguruskan kelab mengikut garis panduan disediakan.

Penulis yakin ramai yang tidak tahu Garena kini sudah mengaturkan kem e-sukan (bootcamp) yang disertai 25 universiti tempatan bersama penuntut berusia 18 hingga 23 tahun.

Naib Presiden Garena Jason Ng berkata, bagi memastikan industri e-sukan bergerak laju, ia perlu meliputi keseluruhan aspek termasuk pendedahan kepada komuniti yang terdiri daripada pelajar universiti.

“Selaku syarikat peneraju e-sukan Asia Tenggara, kami percaya pengajian dan industri permainan video kompetitif mampu digabungkan sekali gus melahirkan generasi pelajar lebih kreatif dan inovatif.

“Garena menawarkan biasiswa e-sukan pertama di Malaysia tahun lalu dan kami yakin GSA adalah langkah seterusnya bagi menaik taraf industri e-sukan di negara ini.

“Pada masa yang sama, GSA sasar untuk meletakkan nama universiti Malaysia antara yang paling terkenal di dunia,” katanya.

Di bawah program yang membuka laluan baru kepada anak muda, ahli GSA akan didedahkan kepada tiga prinsip utama iaitu inovasi dalam pengajian, berkhidmat demi komuniti dan meningkatkan mutu e-sukan di Malaysia.

Menerusi tiga prinsip ini, GSA akan memberi peluang istimewa kepada ahli yang menyerlah sebagai pemimpin dari aspek pengalaman antarabangsa.

Sebagai contoh, pemenang pertandingan antara kampus bagi League of Legends akan mewakili Malaysia ke kejohanan antara kampus peringkat antarabangsa dianjurkan Riot Games.

Kedua, pemenang pertandingan antara kampus bagi FIFA Online 3 pula akan mendapat jemputan terus untuk bertanding dalam pusingan kelayakan bagi kejohanan antarabangsa FO3 seperti EACC.

Ketiga, Garena juga akan menaja penyumbang terbaik untuk ke kejohanan FIFA Online 3 dan League of Legends peringkat antarabangsa tiga kali dalam setahun.

Menceritakan dari segi pencapaian, Garena menerbitkan dua tajuk e-sukan bertaraf tinggi iaitu League of Legends dan EA Sports FIFA Online 3 di Asia Tenggara.

League of Legends mempunyai jumlah pengguna aktif melebihi 100 juta, manakala EA Sports FIFA Online 3 sudah menganjurkan pelbagai kejohanan berprestij bernilai AS$500,000, iaitu satu jumlah tertinggi bagi permainan video bola sepak dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 5:33 AM