PENDEDAHAN pendapatan tahunan jejas hubungan Sheeran dengan beberapa rakan.
Susunan Michelle Gun
michellegub@hmetro.com.my


Bintang popular Ed Sheeran tidak berpuas hati de­ngan majalah Forbes kerana mendedahkan pendapatan tahunannya.

Penyanyi dan penulis lagu British itu memberitahu laporan terbabit menjejaskan hubungan baiknya dengan beberapa rakan.

Terdahulu, majalah itu melaporkan pendapatan penyanyi berusia 26 tahun terbabit mencecah RM253.7 juta pada 2015.

“Laporan itu mengeruhkan keadaan. Saya menerima kiriman mesej daripada orang ramai yang menghantar gambar kereta dan mahu saya beli kenderaan itu untuk hari jadi mereka.

“Ada yang beritahu harga kereta itu hanya enam peratus daripada pendapatan tahunan saya,” katanya kepada majalah Rolling Stones.

Berikutan itu, Sheeran menggunakan iPad dan telefon bimbit model lama untuk berkomunikasi dengan keluarga serta rakannya.

“Sehingga kini, saya belum ada nombor telefon. Saya membeli iPad dan berkomunikasi menerusi e-mel.

“Cara ini mengurangkan tekanan kerana tidak perlu menjawab 50 kiriman mesej daripada invidu tidak dikenali yang meminta macam-macam benda setiap kali bangun tidur,” katanya.

Ujar penyanyi Shape of You itu lagi, sejak menggunakan e-mel dia mula berkomunikasi dengan artis kegemarannya, Eric Clapton.

“Saya tidak peduli apa orang ramai fikir. Apabila ada individu tidak berpuas hati, saya cuma perlu fikir menghasilkan muzik untuk peminat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sheeran berjaya memecah rekod Spotify sejak melancarkan album ketiganya berjudul ‘÷’ minggu lalu.

Album itu mendapat maklum balas positif pendengar, sekali gus meletakkan karya itu sebagai album paling laris di United Kingdom tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 5:00 AM