Marilah bersama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta perlindungan kepada Malaysia yang sedang menghadapi kemelut berikutan penahanan 11 rakyat Malaysia di Korea Utara.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Semua masjid dan surau di seluruh negara diminta mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bermula Jumaat ini hingga ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta perlindungan kepada Malaysia yang sedang menghadapi kemelut berikutan penahanan 11 rakyat Malaysia di negara itu.

"Justeru, semua masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) serta di semua masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat mulai Jumaat ini dan diadakan berterusan hingga kemelut ini selesai.

"Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara supaya turut sama mengadakan solat hajat di semua masjid di negeri masing-masing bermula tarikh berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, ia bagi mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada Malaysia dan seluruh rakyatnya

"Saya menyeru semua umat Islam di seluruh negara supayadapat beramai-ramai menunaikan solat hajat sejurus Solat Jumaat.

"Kita amat berharap konflik ini dapat diselesaikan dengan baik dan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

" Semoga usaha murni ini akan diberkati dan dirahmati Ilahi,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 11:30 PM