Fattah bersama Azrinaz di sebuah kafe. FOTO AMH
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Itu semua fitnah dan tidak masuk akal.”

Ini kata pelakon popular Fattah Amin mengenai dakwaan mengatakan dia menjalin hubungan cinta dengan bekas wartawan penyiaran, Azrinaz Mazhar Hakim seperti yang tular di Internet, baru-baru ini.

Fattah berkata, dia kecewa apabila namanya tiba-tiba digosipkan dengan wanita itu.

“Pada mulanya saya memilih untuk berdiam diri, tetapi ia semakin berleluasa dan membuatkan saya terpanggil untuk membetulkan keadaan.

“Berita ini tidak betul dan tidak pernah berlaku. Saya memohon jasa baik semua pihak supaya tidak memanjangkan perkara ini sehingga ia menjadi fitnah.

“Tuduhan ini secara tidak langsung turut mendatangkan kesan buruk kepada individu yang dikaitkan,” katanya.

Fattah berkata, gosip itu tersebar disebabkan ada pihak yang nampak kehadiran Azrinaz di kafenya, baru-baru ini.

"Hanya kerana Azrinaz datang ke kafe saya sebagai pelanggan dan memuat naik gambar di Instagram, saya terus dikaitkan dengannya.

"Dia juga tak datang bersendirian, sebaliknya turut ditemani beberapa rakan yang turut mengambil gambar bersama saya," katanya.

Fattah berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi bualan kerana ia adalah perkara biasa yang peminat-peminatnya sering lakukan sebelum ini.

“Mungkin disebabkan Azrinaz juga seorang yang dikenali, maka ia menjadi bualan sehingga jatuh kepada fitnah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 4:13 PM