Kedutaan Malaysia di Korea Utara. FOTO laman web Kedutaan Malaysia di Korea Utara.
Suraya Roslan dan Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan rakyat Malaysia di Korea Utara pulang ke tanah air dengan selamat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau faham perasaan dan kebimbangan keluarga serta kenalan rakyat Malaysia yang ditahan di republik itu.

“€œSaya diberi taklimat terperinci mengenai situasi semasa dan fokus utama kita adalah untuk memastikan keselamatan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di sana.

“Kita beri jaminan akan melakukan yang terdaya untuk memastikan mereka pulang ke tanah air,”katanya dalam blognya hari ini.

Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) diadakan petang tadi dan dipengerusikan oleh Najib sekembalinya beliau dari Jakarta, Indonesia.

Mesyuarat MKN itu berlangsung selama 45 minit dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ketua Pengarah MKN Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Difahamkan, seramai 11 rakyat Malaysia terdiri termasuk tiga pegawai kedutaan terkandas di lapangan terbang di Pyongyang selepas kerajaan republik itu menyekat rakyat Malaysia sebagai tindak balas selepas Malaysia mengusir keluar dutanya, Kang Chol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:41 PM