Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Insurans perlindungan untuk kediaman dilihat satu keperluan yang perlu dititiberatkan pemilik rumah dan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana yang berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Aliy Property Advisors Sdn Bhd Mohd Ali Abdul Majis berkata, dengan situasi banjir yang berlaku sekarang, kerosakan mungkin mencecah jutaan ringgit dan ramai tidak tahu sebenarnya insurans tidak melindungi kejadian bencana alam kecuali pemilik kediaman menambah pilihan mengambil perlindungan bencana alam.

Beliau berkata, situasi bencana alam terutamanya banjir di pantai timur yang berlaku sekarang adalah peringatan buat pemilik rumah terutama yang tidak mempunyai kesedaran mengenai pentingnya perlindungan insurans sebelum ini.

“Saya sarankan pemilik rumah mengambil insurans kebakaran dengan perlindungan tambahan untuk kejadian banjir dan tanah runtuh kerana ia berbaloi untuk mereka membeli insurans sebagai jaminan jika terbabit dengan bencana alam.

“Ia membantu membina kembali ekonomi mangsa bencana alam. Untuk yang membuat pinjaman kerajaan, insurans bencana alam dimasukkan sekali tanpa perlu membuat pilihan perlindungan tambahan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, pemaju tidak perlu menyediakan insurans untuk kediaman dijual, namun perlindungan itu lebih memudahkan pembeli dan sebagai pendapatan tambahan kepada pemaju atau ejen insurans.

Mohd Ali berkata, pihaknya menyarankan pembeli insurans perlu tahu jenis perlindungan yang diambil, manakala ejen insurans pula perlu mendidik pembeli dengan lebih mendalam mengenai polisi insurans berkenaan.

“Sebagai pelabur hartanah lokasi strategik menjadi pilihan, bagaimanapun untuk menjamin tempat itu selamat daripada bencana alam adalah di luar kawalan kita,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:07 AM