NADRAH (kiri) dan Natasha saling membantu untuk meluaskan penguasaan mereka dalam bahasa Mandarin.
KAMUS ketika sekolah dulu masih digunakan untuk Nadrah dan Natasha memahami teks yang dibaca.
NORHANA tidak jemu menemani Najihah menyiapkan kerja sekolah.
NAJIHAH (berada di tempat ketiga) juga aktif dalam sukan.
Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


“Haa...tu semua cakap Cina, mengata emaklah tu,” rungut ibu rakan sekolah apabila melihat anak bersembang dalam bahasa Mandarin sambil menjeling ke arahnya.

Meskipun ia sudah puluhan tahun berlalu, kisah ini masih segar dalam ingatan. Rakan penulis mengakui, dia adik-beradik bercakap dalam bahasa Mandarin untuk meluahkan rasa tidak puas hati dimarah ibu atau jika tidak mahu ibu dan ayah mengetahui isi perbualan mereka.

Ini kelebihan belajar di sekolah jenis kebangsaan, katanya. Dia empat beradik dihantar belajar di sekolah aliran Cina yang lebih dekat dengan rumahnya. Ibu dan ayah tidak bersekolah tinggi, mahu mereka ada kemahiran lain yang boleh dimanfaatkan sepanjang hayat.

Sememangnya, ia kelebihan yang menguntungkan. Mana tidaknya, ketika belajar di universiti, pensyarah memberikan nota tambahan yang diambil dari buku Cina. Apabila membeli barang di kedai, dia selalu dapat diskaun kerana tauke berasa seronok berbual dengan pemuda Melayu dalam bahasa ibundanya!

Pun begitu, laluan untuk menjadi pelajar di sekolah jenis kebangsaan tidak mudah. Pada musim cuti khususnya hujung tahun, kala rakan sebaya seronok bermain, mereka dibekalkan dengan kerja rumah bagi setiap mata pelajaran yang perlu dihantar sebaik sekolah dibuka semula.

Disiplin sejak kecil

Norhana Shamudin, 35, antara ibu yang memilih menghantar anak bongsunya, Rabiatul Najihah Roslan, 8, ke tadika beraliran Cina di Semenyih sejak berumur empat tahun. Melihat prestasinya yang memberangsangkan sepanjang tiga tahun di prasekolah, penyelia tadika menyarankan Najihah didaftarkan ke sekolah jenis kebangsaan.

“Pada mulanya saya masukkan abangnya, Raif Najwan, 9, belajar di tadika itu tetapi pencapaiannya agak lemah. Lalu saya dan suami ambil keputusan untuk Raif mendapat pendidikan aliran agama bagi membimbing adiknya satu hari nanti.

“Soal disiplin di sekolah aliran Cina agak ketat. Jika didapati ada pelajar yang lemah dalam bahasa Mandarin, pihak sekolah akan menasihati ibu bapa untuk memindahkan anak mereka ke sekolah kebangsaan. Ia saranan yang baik demi masa depan pelajar itu sendiri.

“Oleh kerana Najihah saja yang bersekolah aliran Cina, dia perlu menghadiri kelas tambahan selepas persekolahan. Jadi, jadual hariannya sangat padat. Selepas habis sekolah, Najihah akan kembali ke tadika untuk mengikuti kelas tambahan dan pada masa itu juga dia perlu menyiapkan semua kerja sekolah kerana di rumah tiada siapa yang dapat membantunya,” katanya.

Selepas pulang dan sementara menanti waktu Maghrib, Najihah mengikuti kelas fardu ain. Walaupun jadual hariannya padat dan penat, namun anak bongsu ini jarang merungut. Dia tahu, jadual yang disusun itu adalah untuk kebaikan dirinya.

“Memang ada kerja rumah dan ulang kaji yang harus dilakukan setiap cuti sekolah. Ia sangat berbeza berbanding abang dan kakaknya yang belajar di sekolah kebangsaan. Setiap kali pergi bercuti, Najihah perlu membawa buku bersama.

“Soal persaingan, memang besar. Contohnya ketika dia berada dalam darjah satu, walaupun keputusan diperoleh baik untuk peperiksaan akhir tahun tetapi kedudukan Najihah dalam kelas tetap tidak berada dalam lingkungan cemerlang.

“Namun sebagai ibu, saya tidak mahu Najihah berasa tertekan dan berfikir dia perlu bersaing dengan rakan sekelas. Saya beritahu perkara yang lebih penting ialah belajar sebaik mungkin supaya dia mampu memahami setiap mata pelajaran terutama bahasa Mandarin.

“Kelemahan dalam satu-satu pelajaran itu yang perlu diperbaiki - untuk diri sendiri, bukan kerana mahu bersaing dengan orang lain,” katanya.

Selain itu, Norhana juga selalu berbincang dengan guru di pusat tuisyen memandangkan mereka sudah memantau perkembangan Najihah sejak dia berusia empat tahun. Jadi, apa saja kelemahan yang ditunjukkan berdasarkan keputusan peperiksaan akan dibincangkan supaya ia dapat diperbaiki.

“Waktu pembelajaran di sekolah aliran Cina tidak sama dengan sekolah kebangsaan kerana ia habis lewat. Jadi Najihah tidak sempat untuk pergi ke sekolah agama. Sebagai alternatifnya, saya menghantar dia ke kelas fardu ain setiap Isnin hingga Khamis.

“Dalam soal disiplin, sekolah aliran Cina agak tegas bukan saja kepada pelajar tetapi juga ibu bapa. Sekiranya pelajar tiba lewat, ibu bapa akan ditanya terlebih dulu. Begitu juga sekiranya ada pelajar yang tidak datang ke sekolah.

“Jadi dalam situasi itu ibu bapa yang menghantar anak di sekolah aliran Cina secara tidak langsung turut diajar bersikap peka mengenai kehadiran dan perkembangan pelajaran anak. Sekiranya pelajar ada masalah, ibu bapa akan dipanggil untuk mengetahui apa masalah sehingga menyebabkan prestasi merosot.

“Penekanan disiplin ini yang membuatkan saya tidak risau. Najihah sudah tahu tanggungjawabnya. Dia yang akan akan memberitahu apa yang perlu dilakukan dan memastikan kerja sekolahnya siap tanpa perlu disuruh atau dipantau,” kata Norhana.

Pengalaman berharga

Nadrah Yasmine Yap Amirrul Yusof Yap, 26, tersenyum apabila mengenang kembali kemanisan zaman persekolahan dulu. Dia dan adiknya, Natasha Yasmine Yap, 23, dimasukkan ke sekolah aliran Cina kerana ibu bapanya mahukan mereka cemerlang dalam matematik dan pada masa sama dapat belajar bahasa Mandarin. Selain itu di sekolah juga mereka berdua berpeluang belajar dialek bahasa Cina yang lain daripada rakan-rakannya.

“Masa kecil dulu, saya dan adik tidak pula rasa cemburu melihat kawan yang ‘bebas’ dari kerja rumah ketika cuti hujung tahun. Mungkin sebab sudah biasa. Sejak di tadika lagi kami sudah didedahkan dengan latihan bertubi-tubi. Malah, kami melihatnya sebagai satu kelebihan kerana itu peluang untuk memperbaiki kelemahan pada subjek tertentu.

“Kerja rumah untuk disiapkan sepanjang cuti sekolah itu memang banyak kerana ia membabitkan setiap mata pelajaran. Namun ia tidak membebankan kerana kami masih ada masa untuk bermain dan menonton televisyen,” katanya.

Natasha mencelah, untuk membolehkannya ‘berseronok dan bermain sepuas hati pada cuti sekolah, dia akan menyiapkan kerja yang dibekalkan itu secepat mungkin - sebelum cuti bermula!

Nadrah dan Natasha mengakui belajar di sekolah aliran Cina mencabar namun mereka bersyukur semuanya dapat ditangani dengan baik. Cabaran paling besar adalah ketika mereka perlu membuat ulangkaji untuk peperiksaan.

“Ibu bapa kami langsung tidak memahami bahasa Mandarin. Walaupun ayah keturunan Cina, tetapi dia bertutur dalam dialek Hokkien. Jadi setiap malam saya perlu menelefon saudara sebelah bapa untuk bertanya dan buat rujukan,” kata Nadrah.

Kata Natasha, dia sering menghadapi masalah untuk merujuk kamus bagi memahami perkataan yang susah. Namun dia beruntung kerana selain saudara-mara sebelah bapa, dia mempunyai kakak yang rajin menunjuk ajar dan sentiasa meluangkan masa untuk membantunya.

“Soal makan minum, kami tidak risau kerana setiap hari ibu menyediakan bekal untuk dibawa ke sekolah. Sejak awal lagi ibu dan bapa selalu mengingatkan mengenai soal makan minum ini. Kami pula tidak cerewet, apa saja yang ibu bekalkan, kami bawa dengan senang hati,” kata Natasha yang kini bertugas sebagai guru.

Menyentuh isu persaingan ketika belajar, dua beradik ini tersenyum mengenangkan betapa kecohnya suasana di dalam kelas apabila rakan membuat perbandingan markah sesama sendiri.

“Bila ada budaya membandingkan markah, mahu tidak mahu, kami perlu belajar bersungguh-sungguh supaya tidak ketinggalan atau berada di kedudukan paling akhir. Untuk membantu pelajar, pihak sekolah menyediakan kelas tambahan secara percuma selepas habis sesi pagi,” kata Nadrah.

Menurut Natasha, persaingan dalam kalangan ibu bapa lebih ketara. Ada ibu bapa yang membuat perbandingan markah anak-anak mereka, malah sanggup meluangkan masa untuk berbincang dengan guru kelas jika didapati pencapaian si anak kurang memberangsangkan.

Walaupun sikap membandingkan markah ini ada kalanya membuatkan anak tertekan, tetapi jika dilihat dari sudut positif, ia membolehkan ibu bapa memahami kelemahan dan kekurangan si anak.

“Belajar di sekolah aliran Cina memang memerlukan lebih usaha. Namun pada kami, ia adalah pengalaman yang berharga dan menyeronokkan. Antara peristiwa lucu yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila dipaksa memasuki kelas moral ketika saya mahu ke kelas agama. Mungkin disebabkan saya ada darah (dan rupa) Cina, cikgu kelas tidak percaya saya beragama Islam. Jadi terpaksalah bapa datang ke sekolah untuk menjelaskannya,” kata Nadrah yang kini bertugas sebagai pengurus akaun.

Begitu juga dengan Natasha. Ramai rakan sekelasnya tidak percaya dia orang Melayu, hanya kerana dia boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan baik.

Apabila ditanya adakah mereka juga akan menghantar anak ke sekolah aliran Cina, dua beradik ini dengan pantas memberi jawapan positif.

“Ya! Anak-anak kami ‘wajib’ belajar di sekolah aliran Cina. Kami mahu anak-anak belajar bahasa Mandarin seperti kami. Kalau boleh kami mahu ia menjadi ‘warisan’ keluarga!,” kata Natasha sambil ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 12:12 PM