BUAH cempedak.
myMetro

Pokok cempedak berasal dari kawasan Asia Tenggara iaitu Semenanjung Malaysia, Brunei, Indonesia dan pulau Papua.

Di Malaysia, cempedak ditanam dengan meluas di Kedah dan Perak. Ia menghasilkan buah secara bermusim dan dalam setahun hanya terdapat satu musim utama.

Kemuncak pengeluaran buah ialah pada Jun hingga Ogos dan November hingga Disember. Cempedak banyak manfaatnya iaitu isi buahnya kaya dengan zat gizi khususnya vitamin A.

Buahnya boleh dimakan segar atau digoreng manakala biji buahnya boleh dimakan selepas direbus seperti biji nangka. Pokok cempedak boleh dibiakkan dengan cara cantuman mata tunas, cantuman baji dan cantuman sandingan.

Cempedak ialah sejenis pokok besar dengan silara yang padat boleh mencapai ketinggian melebihi 15 meter dan mempunyai batang berbentuk silinder serta bulat di bahagian hujungnya.

Permukaan kulit ada tompok yang berwarna coklat sampai coklat tua. Seluruh bahagian batang, dahan dan ranting pokok mengeluarkan getah ketika dipotong.

Buah cempedak berbentuk lonjong iaitu 20 hingga 35 sentimeter (sm) dan 10 hingga 15 sm lebar. Buahnya berwarna kekuning-kuningan atau coklat ke oren/hijau dan dikelilingi duri yang lembut dan tidak tajam.

Buah tergantung pada tangkai yang kuat dan gemuk. Setiap buah mengandungi biji berbentuk ginjal atau memanjang, bersaiz dua hingga tiga cm dan dilitupi isi yang berwarna oren kekuning-kuningan.

Ia mengandungi 10 hingga 30 ulas isi, bergantung pada saiz buahnya. Tekstur buah cempedak sangat halus, enak dan rasanya sangat manis.

Buahnya mengeluarkan getah berwarna putih apabila dipotong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 11:35 AM