Agensi

Bali: Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan rombongannya dilapor melanjutkan percutiannya di Bali hingga 12 Mac ini, tiga hari lebih lama berbanding jadual asal.

“Kami mengesahkan bahawa Raja Salman dan rombongannya melanjutkan percutian mereka hingga 12 Mac ini daripada rancangan awal iaitu hingga 9 Mac.

“Ini berdasarkan perubahan jadual penerbangan mereka,” kata timbalan pengarah operasi dan perkhidmatan PT JAS, Subiyono yang dipetik Tribunnews.com.

Pemerintah Arab Saudi itu bercuti di Bali selepas melawat Jakarta dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

PT JAS syarikat pengurusan yang dilantik Saudi Arabian Airlines (SV) untuk menguruskan penerbangan Raja Salman di Indonesia.

Bagaimanapun, Subiyono berkata, dia tidak tahu sama ada penerbangan pulang pada 12 Mac itu termasuk Raja Salman sendiri kerana jadual mungkin berubah lagi.

Menurutnya, PT JAS mendaftar tiga penerbangan pada 11 Mac dan satu penerbangan pada 12 Mac ini untuk SV, dengan jumlah penumpang yang tidak dipastikan.

“Kami hanya menguruskan permintaan daripada rombongan itu,” jelasnya.

Tambahnya, beberapa anggota rombongan itu sudah pulang dan ada yang datang kembali ke Bali.

“Ada juga beberapa anggota keluarga diraja itu baru tiba untuk menyertai percutian di pulau ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:01 AM