LOKASI budak lelaki enam tahun yang dilanggar kenderaan yang belum dikenal pasti. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Sandakan: Budak lelaki berusia enam tahun maut dilanggar kenderaan yang belum dikenal pasti ketika pulang dari tadika di Taman Mawar, Batu 5, di sini, 11.45 pagi tadi.

Mangsa, Aiqal Daniel Alden disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecamasan Hospital Duchess Of Kent (HDOK), di sini, akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari tadika.

"Selepas turun dari kereta yang ditumpangnya dan hendak menuju ke rumahnya, mangsa dipercayai dilanggar kenderaan yang belum dikenal pasti.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah di kepala kemudian dikejarkan ke HDOK oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian," katanya di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, susulan kejadian itu, pihaknya memohon orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan 089-212222 atau pegawai penyiasat Inspektor Zabir Aripin di talian 0138021701.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 12:20 AM