Sathia (kiri) bersama kapten Shukor Adan (dua kiri) bersama kapten Gonzalo Marronkle dan jurulatih Hanoi FC, Chu Dinh Nghiem. FOTO HM/LUQMAN HAKIM ZUBIR
BERNAMA

Shah Alam: Ketua jurulatih Felda United, B Sathianathan mengekalkan kesebelasan utama pada perlawanan kedua Kumpulan G Piala AFC 2017 menentang Hanoi FC di Stadium Shah Alam esok.

Sathianathan mengekalkan pemain sepertimana perlawanan Liga Super menentang Sarawak berikutan kekangan masa untuk melakukan perubahan selepas mengambil alih pasukan itu daripada Azmi Mohamed pada 10 Februari lalu.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata jadual perlawanan liga tempatan yang padat juga antara faktor menyukarkannya mencari barisan terbaik pasukan itu.

"Ini bukan barisan terbaik kerana saya masih belum sempat bertemu dengan kesemua pemain disebabkan jadual perlawanan yang padat tetapi setakat ini saya boleh bergantung pada 15 pemain yang mampu menjalankan tugas dengan baik.

"Saya tidak akan melakukan perubahan yang banyak dalam pasukan kerana mereka akan berehat selama seminggu selepas ini. Kita bermain dengan baik perlawanan menentang Sarawak, jadi saya akan mengekalkan pemain dan hanya menggantikan beberapa pemain yang cedera," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Shah Alam, hari ini.

Sathianathan menjangkakan tentangan sengit daripada pasukan Hanoi FC yang kini menduduki tangga kedua dalam Liga Vietnam 1.

"Pasukan Hanoi mempunyai pengalaman bermain di AFC Cup sebelum ini di samping dibarisi beberapa pemain kebangsaan Vietnam yang kita sedia tahu mereka ini mempunyai corak permainan yang pantas dan tidak pernah berhenti berlari, pasukan ini mempunyai kualiti," katanya.

"Pasukan Hanoi mempunyai pengalaman bermain di AFC Cup sebelum ini di samping dibarisi beberapa pemain kebangsaan Vietnam yang kita sedia tahu mereka ini mempunyai corak permainan yang pantas dan tidak pernah berhenti berlari, pasukan ini mempunyai kualiti," katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan Hanoi FC, Chu Dinh Nghiem berharap pasukannya mampu menunjukkan corak permainan yang baik meskipun tanpa beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan esok.

Beliau menyifatkan pasukan Felda sebagai salah sebuah pasukan yang hebat dengan beberapa pemain yang bagus yang mampu memberikan saingan kepada anak buahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 5:37 PM