SULTAN Muhammad berangkat ke Majlis Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen. Turut hadir, Najib dan Ahmad Zahid. FOTO Yazit Razali
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda di Parlimen pada 10.30 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri S A Vigneswaran.

Hadir sama menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sultan Muhammad menerima sembah 'Hormat Diraja' daripada Mejar Mohd Ridhwan Mohd Basheer yang mengetuai barisan kawalan keselamatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Baginda kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 104 anggota dan empat pegawai.

Ia diikuti nyanyian 'Negaraku' dimainkan oleh pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das.

Selesai istiadat berkenaan baginda diiringi ke Bilik Diraja untuk sesi bergambar sebelum ke Dewan Rakyat bagi menyampaikan titah ucapan perasmian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 12:08 PM