HARI keluarga GSR meriah.
DOTTIE bermain boling kelapa.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Bagi mengeratkan hubungan kakitangan dan artis yang bernaung di bawah syarikat Global Solution Resources Sdn Bhd (GSR), baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amie Zhu menganjurkan percutian di pusat peranginan Port Dickson.

Pada acara yang dinamakan GSR Artist Meet And Greet & GSR-HBC Family Day itu, turut diadakan program bina semangat yang dikendalikan jurulatih pusat itu.

Menurut Amie, percutian itu adalah acara tahunan syarikat bagi membalas budi kakitangannya yang bertungkus-lumus memantapkaN perjalanan syarikat terbabit.

“Setiap kali percutian, saya bawa 28 kakitangan termasuk artis yang bernaung di bawah GSR. Buat masa in GSR ada tiga artis iaitu Ren Ryzam, Syaffiq Sahli dan Dottie. Sementara itu, Shukri Yahaya pula akan berkerjasama dengan GSR menerusi projek khas yang diumumkan nanti.

“Dengan adanya percutian seperti ini, saya berharap tiada jurang antara artis dan pekerja pengurusan. Saya juga melayan artis seperti pekerja tetap GSR. Mereka ada simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), SOCSO dan sebagainya.

“Saya mahu artis naungan syarikat saya ada masa depan dan jika mahu mereka mendalami kerja belakang tabir, saya menyediakan peluang itu kerana tidak selamanya mereka akan kekal sebagai penyanyi atau pelakon,” katanya.

Amie kini berdebar menantikan tayangan filem pertama terbitan GSR berjudul Surf This Love (STL) yang dijangka menggegarkan pawagam seluruh tanah air pada Ogos ini.

“Filem itu dalam proses ‘dolby sound’. Saya sanggup memperuntukkan bajet untuk melakukan proses terbabit kerana mahu filem yang bagus dan berkualiti.

“Saya juga berbangga dengan komitmen yang diberikan Shukri Yahaya apabila sanggup membiarkan rambutnya panjang, kembang dan menggerbang bagi menghayati watak.

“Dia sanggup sahut semua cabaran sepanjang penggambaran seperti meredah hutan rimba dan berdepan bahaya di laut,” katanya.

Perkembangan lain, GSR dalam perancangan bekerjasama dengan produksi luar negara bagi menerbitkan filem kedua.

“Filem ini akan menggabungkan pelakon tempatan dan luar. Barisan pelakon akan diumukan apabila sampai masanya,” katanya.

Selain itu, GSR akan bekolaborasi dengan beberapa pihak bagi memberi nilai tambah kepada artisnya termasuk kelas lakonan dan nyanyian.

“Untuk memantapkan produksi GSR, saya menggunakan khidmat Pekin selaku penasihat,” kata Amie.

Sementara itu, pada 31 Mac hingga 2 April ini, GSR terbabit dalam penganjuran kempen berhenti merokok yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), membabitkan delegasi 17 negara termasuk United Kingdom, Perancis, China, Thailand, Vietnam, Kuwait dan Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 9:18 AM