SEORANG penyokong Trump cedera dalam pertempurandi Berkeley, California. - Reuters
SEORANG penyokong Trump menyerang penunjuk perasaan antipresiden itu dengan kayu di Berkeley, California. - Reuters
Reuters

Berkeley (California): Penyokong Donald Trump bertempur dengan kumpulan penentangnya di tunjuk perasaan di bandar raya ini ketika perhimpunan untuk menyokong presiden Amerika Syarikat diadakan di seluruh negara, semalam.

Di sebuah dataran di Berkeley, penunjuk perasaan dari kedua-dua pihak menyerang satu sama lain dengan kayu.

Penyokong Trump juga melepaskan semburan lada putih terhadap kumpulan lawan sementara polis yang lengkap berpakaian antirusuhan memerhati dari jauh.

Perhimpunan yang dinamakan Spirit of America itu diadakan di 28 daripada 50 negeri Amerika Syarikat.

Penganjurnya sebelum ini berkata, mereka menjangka jumlah yang akan menyertai perhimpunan itu jauh lebih kecil berbanding penunjuk perasaan anti-Trump yang memenuhi Washington dan bandar lain sehari selepas Trump mengangkat sumpah jawatan 20 Januari lalu.

Di kebanyakan bandar, perhimpunan itu hanya menarik beberapa ratus orang. Di beberapa tempat, penyokong presiden itu lebih sedikit berbanding penunjuk perasaan anti-Trump.

Di Berkeley, California, jumlah penyokong kedua-dua kumpulan ialah antara 200 dan 300 orang.

Tiga orang cedera apabila mereka bertempur, termasuk seorang patah gigi.

Polis menahan lima orang selepas perhimpunan berkenaan, termasuk seorang penyokong Trump yang bersenjatakan belantan .

Di Minnesota, 400 penyokong Trump berhimpun untuk menyatakan sokongan terhadap presiden itu. Mereka berdepan dengan cemuhan dan ejekan sekumpulan kecil penentang pemimpin baru Amerika Syarikat itu.

Di Nashville, Tennessee, penyokong kedua-dua kumpulan saling maki satu sama lain, menyebabkan pergaduhan hampir meletus.

Di Lansing, Michigan, seorang penyokong anti-Trump, Brandon Blanchard, 24 berkata, dia menunjuk perasaan kerana menyokong pendatang dan Muslim - kumpulan yang menjadi sasaran dasar pentadbiran baru Amerika Syarikat.

Di Palm Beach Florida, tempat Trump menginap hujung minggu di pusat peranginan Mar-a-Lago miliknya, presiden itu turun dari keretanya untuk melambai ke arah puluhan penyokongnya sementara sekumpulan kecil penentangnya menunjuk perasaan di seberang jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 6:56 AM