ANTARA 47 motosikal yang disita. FOTO Zainuz Fitri
Ibrahim Isa

Johor Bahru: Empat puluh tujuh motosikal dan sebuah kereta disita dalam Operasi Mat Rempit di Lebuhraya Kempas di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintenden Zulkhairi Mokhtar berkata, selain itu 88 saman dikeluarkan kerana melakukan 158 kesalahan termasuk mengubahsuai nombor pendaftaran dan tidak memiliki lesen memandu sah.

"Kami juga menahan empat lelaki berusia lingkungan 20-an selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

"Operasi selama tujuh jam bermula 11 malam tadi membabitkan 109 anggota daripada pelbagai agensi.

"Kami dapati mereka menjadikan kawasan sekitar Lebuhraya Kempas berhampiran jalan susur Bandar Dato Onn sebagai medan lumba haram dan akan melakukan operasi sama secara berterusan," katanya.

Menurutnya, tindakan semua Mat Rempit itu membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 1:34 PM