ZUL dan Faye pertama kali digandingkan bersama.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Tiada siapa mahu mahligai perkahwinan yang dibina atas dasar cinta musnah begitu saja, apatah lagi ia berlaku dalam tempoh perkahwinan masih

baru lagi.

Mungkin tiada jodoh antara mereka, Airil reda dan tabah meneruskan hidup walaupun berat untuk dia menerimanya.

Berbeza dengan bekas isterinya Aiza, wanita itu menyalahkan Airil sebagai punca dirinya keguguran.

Itulah antara serba sedikit petikan cerita terbaru Istikharah Cinta yang sedang ditayangkan di slot Akasia TV3.

Menemui penonton pada jam 7 malam setiap Isnin hingga Khamis, drama terbitan Orangetree Production itu dilakonkan oleh Zul Ariffin (Airil), Nonny Nadhirah (Aiza), Syazwan Zulkifli (Hanafis), Nizen Ayob (Dr Rizal), Lia Natalia (Alisya), Falisha Crossley (Juliza), Azizul Ammar (Taufiq), Datuk Eizlan Yusof (Datuk Aziz) dan Zarina Zainuddin (Datin Amnah) serta penampilan istimewa Faye Kusairi yang memegang watak sebagai Dina.

Drama 28 episod itu mula ditayangkan sejak 23 Disember lalu di mana Airil yang kini bergelar duda tidak menyangka pertemuan dengan Dina di sebuah restoran membawa satu perubahan besar dalam hidupnya dan Dina.

Semuanya berlaku hanya gara-gara mereka terpaksa berkongsi meja. Kali kedua bertemu di Pulau Langkawi, Dina yang baru putus cinta dengan Hanafis, berkongsi kisah suka dukanya dan ini merapatkan lagi hubungan antara Airil dan Dina.

Hanafis terpaksa memutuskan hubungannya dengan Dina kerana dipaksa berkahwin dengan wanita pilihan keluarga. Jauh di sudut hatinya, Hanafis tidak dapat melupakan Dina.

Bermula kisah cinta tiga segi apabila Juliza, rakan sekerja Airil dalam diam-diam menaruh perasaan kepada Airil. Sementara itu, bekas isteri Airil, Aiza sudahpun memulakan hidup baru bersama suaminya, Dr Rizal.

Namun sangkaannya meleset. Dia mula sering membeza-bezakan Airil dan Dr Rizal hingga menyebabkan rumah tangga Aiza mula bergolak.

Aiza kian sedar, bekas suaminya ternyata lebih baik dan berhasrat mencari Airil kembali.

Hubungan Airil dan Dina semakin akrab dan bermulalah kisah cinta mereka.

Airil berharap dapat memperisterikan Dina. Namun Airil tidak pernah berterus terang dengan statusnya sebagai seorang duda.

Apakah yang akan terjadi apabila Dina mengetahui perkara sebenar? Adakah dia dapat menerima hakikat itu?

Hanafis yang masih menyimpan perasaan terhadap Dina juga ingin memenangi hati Dina kembali. Airil mulai rimas dengan Aiza yang mencari dan mengganggunya kerana kini dia hanya mencintai Dina.

Cukupkah kasih sayang dan cinta mereka untuk saling mempercayai kesetiaan masing-masing?

Ikuti kesudahan drama bersiri Istikharah Cinta yang sedang hangat ditayangkan di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:01 AM