FALCONE (kiri) hanya jaring dua gol daripada lapan perlawanan.
Malik Muhammad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Penyerang utama Terengganu Federico Falcone seharusnya dilabel ‘mesin pencetak gol’, namun selepas lapan perlawanan dia hanya baru menjaringkan menjaringkan dua gol.

Bekas pemain kelab Deportes La Serene dalam Liga Chile itu hanya menjumpai gawang lawan ketika bertemu PKNP FC dan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana.

Malah dalam aksi bertemu ATM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam kelmarin, pemain berusia 27 tahun itu masih tumpul dan buntu untuk menambah koleksi jaringan biarpun mempunyai beberapa peluang menarik. Mujur pemain kelahiran Kanada Issey Nakajima Farran menjaringkan gol untuk skuad Penyu menang 1-0.

Situasi ini jelas meresahkan kem Terengganu yang sehingga kini baru mengumpul 14 gol selain bolos 10 dalam lapan perlawanan liga.

Ketumpulan penyudah pemain kelahiran Rosario, Argentina itu yang juga pernah beraksi bersama kelab Newell’s Old Boys di Argentina jelas mendapat perhatian pengendali pasukan, Irfan Bakti Abu Salim yang mengakui sedikit terkilan dengan persembahan penyerang utamanya itu.

“Saya kecewa dengan persembahan Falcone, sepatutnya dia perlu lebih yakin dan berani mengawal bola selain bijak menghidu peluang.

“Namun apa yang berlaku sebaliknya. Jadi, saya tuntut dia membuktikan kemampuan sebenar kerana kami perlukan gol dalam setiap perlawanan, apatah lagi perjalanan liga masih panjang,” kata jurulatih berusia 66 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:10 AM