SUBAHAN (belakang tengah) bersama barisan Exco FAS serta wakil bekas pemain Selangor, Nazzab Hidzan (tengah depan) yang diapit wakil kelab peminat memperagakan jersi baru Selangor.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Shah Alam: Selangor mendapat suntikan semangat dalam menempuh musim 2017 apabila Lotto tampil buat tahun kedua menjadi penaja utama jersi The Red Giants itu.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu menggayakan buat kali pertama jersi baru mereka pada perlawanan menentang Perak di Stadium Selayang malam tadi.

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, tajaan Lotto kepada Selangor adalah kesinambungan positif bagi bola sepak negeri itu.

“Tajaan ini membuktikan Selangor masih mampu menarik minat penaja seperti Lotto selagi penyokong terus memberi sokongan kepada pasukan.

“Sudah saya katakan 2017 tahun mencabar buat Selangor dan jangan mengharapKAN kami mampu menjadi juara.

“Penyokong kena faham kerana realitinya tahun ini amat mencabar. Tapi apabila 2018 saya yakin apabila kewangan kukuh, Selangor akan bangkit,” katanya.

Beliau yang ditemui pada sidang media pelancaran jersi baru keluaran Lotto untuk musim 2017 di Al-Ikhsan di sini berkata, Selangor satu-satunya pasukan yang tidak mendapat sebarang tajaan daripada kerajaan negeri justeru usaha kuat perlu dilakukan.

Bermula perlawanan di halaman sendiri dalam aksi Liga Super, Selangor akan menyarung kelengkapan ‘home kit’ baru merah kuning dengan merah menjadi warna dominan.

Jersi ‘away kit’ juga berwarna merah kuning tetapi warna kuning menjadi dominan dan ‘third kit’ Selangor berwarna hitam.

Semua kit Selangor musim 2017 ini boleh didapati di cawangan Al-Ikhsan terpilih.

Sementara itu Pengurus Besar Pemasaran dan Penjenamaan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Khairul Syahar Khalid berkata, penjualan jersi Selangor dan barangan Lotto akan mengukuhkan jenama Al-Ikhsan sebagai peneraju barangan sukan terunggul di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:09 AM