ANGGOTA polis melihat trak yang membawa pelajar sekolah diserang lelaki bersenjata di Narathiwat kelmarin yang mengorbankan empat sekeluarga. - Reuters
Agensi

Narathiwat: Keganasan di wilayah selatan Thailand tiba-tiba memuncak selepas perjanjian dicapai dalam rundingan damai pada minggu ini untuk mewujudkan zon selamat di kawasan itu.

Beberapa pihak bimbang sebilangan pejuang pemisah menentang perjanjian berkenaan yang dicapai antara wakil kumpulan pejuang pemisah dengan perunding kerajaan.

“Zon selamat ini diperlukan penduduk tetapi peningkatan serangan menunjukkan ada kumpulan pemisah yang menentangnya,” kata seorang pemimpin Islam di Yala, Nimu Makajay.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwon berkata, kejadian itu mungkin berpunca daripada persengketaan peribadi dan tiada kena-mengena dengan rundingan damai.

“Saya tidak fikir ia mempunyai kaitan (dengan rundingan damai) tetapi kami akan menyiasatnya,” katanya semalam.

Gerakan pemisah di tiga wilayah berkenaan yang berlarutan sejak 13 tahun lalu sudah meragut lebih 6,800 nyawa.

Keganasan terbaru bermula pada Selasa lalu apabila kumpulan yang mengakui mewakili pejuang pemisah, Mara Pattani dan perunding kerajaan yang bertemu di Malaysia bersetuju lima daerah di Narathiwat, Pattani dan Yala dijadikan zon selamat.

Zon selamat adalah kawasan bebas aktiviti tentera dan serangan daripada pejuang pemisah.

Namun, tiga serangan kelmarin di Narathiwat dan Pattani sahaja sudah meragut lapan nyawa.

Dalam kejadian terbaru, tiga askar berpakaian awam ditembak mati lapan lelaki bersenjata di sebuah pasar di Ban Tabae di daerah Mayo, Pattani pada lewat petang kelmarin.

Dua jam sebelum itu, seorang pengawal keselamatan ditembak mati di kampung Ban Buketkong di daerah sama di Pattani.

Pada sebelah pagi, seorang lelaki bersama isteri, anak lelakinya yang berusia lapan tahun dan adik iparnya maut selepas kenderaan mereka ditembak ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 6:05 AM