IKEA Asia Tenggara mengguna pakai sistem solar atas bumbung di Asia Tenggara bagi memacu kemampanan alam sekitar.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Menjadi pengeluar kelengkapan rumah terkemuka, IKEA terus berusaha memacu ke arah kemampanan alam sekitar dengan penggunaan sistem solar atas bumbung di Asia Tenggara.

Akhir bulan lalu, IKEA Asia Tenggara mengumumkan jalinan kontrak bersama Phoenix Solar Sdn Bhd yang bertanggungjawab mereka bentuk dan membina sistem solar di atas bumbung IKEA Tampines, Singapura.

Sistem berkenaan dikatakan mampu menjana 1.3 juta kilowatt jam (million kilowatt hours) tenaga setiap tahun.

Jumlah berkenaan menghasilkan tenaga mencukupi bersamaan untuk kapasiti 283 unit rumah pangsa awam dengan empat bilik.

IKEA dijangka dapat menjimatkan RM10.6 juta perbelanjaan daripada bil elektrik cawangan berkenaan untuk jangka masa 10 tahun akan datang.

Di Malaysia, IKEA Cheras sudah ke hadapan dengan menggunakan sistem solar yang sama di atas bumbung.

Projek itu turut didorong kejayaan pemasangan sistem 1.3 juta kilowatt jam di atas bumbung Kompleks Beli-belah Megabangna diteraju IKEA Bangkok yang menyalurkan tenaga elektrik ke bandar.

Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara Christian Rojkjaer berkata, projek solar itu menyokong matlamat kemampanan syarikatnya iaitu menjana dan mengguna pakai tenaga yang boleh diperbaharui.

“Berupaya mengurangkan impak iklim dan menjimatkan kos operasi untuk jangka panjang adalah satu keputusan tepat dalam perniagaan.

“Pada masa sama kami turut menyumbang dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara,” katanya.

Kemampanan adalah komponen semula jadi dan asasi untuk perniagaan harian IKEA Asia Tenggara yang dipandu dengan visi mencipta kehidupan lebih baik untuk masyarakat.

Syarikat berkenaan terus konsisten dalam memberi impak positif pada alam semula jadi sambil beroperasi dan berkembang dari segi perniagaan di Malaysia, Singapura dan Thailand.

“Kami menjangkakan impak positif bagi alam sekitar mahu pun komersial dari projek Singapura dan kerjasama dengan Phoenix Solar bagi projek serantau lain di Asia Tenggara,” katanya.

Tarikan

Jualan ala Sweden kembali untuk tahun ini dari 2 Mac hingga 19 Mac ini di cawangan IKEA Damansara dan IKEA Cheras dengan potongan harga menarik.

Pelbagai produk diberi potongan harga istimewa antaranya kotak SKUBB bernilai RM29.90 untuk tiga unit (harga asal RM39.90) dan lilin dengan wangian dalam gelas OMTALAD dengan harga RM2.90 seunit (harga asal RM4.90).

Bagi yang berminat untuk menjadi ahli IKEA FAMILY boleh mendaftar di kiosk atau menerusi atas talian di IKEA.my/FAMILY/register dan menikmati banyak kelebihan serta promosi eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:04 AM