Pemain Terengganu Turaev Lutfulla (kanan) cuba menanduk bola sambil diasak pemain ATM, Suhairy Johari. FOTO HM /GHAZALI KORI

Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Terengganu bermandi peluh sebelum berjaya menumpaskan ATM 1-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Bermula awal babak pertama, Terengganu yang berhasrat untuk melebar rekod kemenangan memperolehi peluang mencipta jaringan menerusi Federico Falcone m-4 tetapi rembatan pemain Argentina itu dihalang penjaga gol Mohd Hafizuddin Azuhar.

Seminit selepas itu giliran Lutfulla Turaev menguji gawang pelawat melalui rembatan tetapi sekali lagi dapat dihalang Mohd Hafizuddin.

Terengganu yang masih segar dengan kemenangan menewaskan Perlis pada Selasa lalu sekali lagi terlepas peluang mencipta jaringan menerusi rembatan Falcone m-15 yang hanya sedikit tersasar sekali gus terselamat pintu gol pelawat.

Tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah pasukan The Gladiators memperkemaskan gerakan dengan percubaan pertama hadir m-19 tetapi Suhairy Johari lambat menguis bola.

Bersambung babak kedua skuad Penyu mengamalkan corak permainan pantas dan beberapa kali memperolehi peluang namun terus gagal memecah kebuntuan.

Ketangkasan penjaga gol ATM sekali lagi menghampakan rembatan Issey Nakajima Farran sekali gus menyelamat gawang pelawat dibolosi.

Usaha berterusan skuad Peteh akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti m-83 selepas Nakajima dijatuhkan.

Nakajima tenang menyepak masuk gol untuk mendahului pelawat 1-0 untuk kemenangan menewaskan ATM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 11:30 PM