Lelaki Nepal yang ditahan kerana cuba memecahkan mesin ATM. Turut dirampas peralatan yang digunakannya. FOTO ihsan polis.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Bukit Mertajam: Lelaki Nepal diberkas polis kerana cuba memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Bukit Minyak, di sini, 12.10 tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit ditemui bersembunyi di dalam tandas pasar raya selepas aksinya disedari pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semasa pengawal keselamatan sedang membuat rondaan, dia mendapati bingkai mesin ATM terbuka.

Katanya, pengawal keselamatan memaklumkan kejadian itu kepada penyelia dan selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mereka mendapati seorang lelaki sedang membuka bingkai ATM itu sebelum melarikan diri ke tandas.

"Pengawal keselamatan dan beberapa pekerja memeriksa tandas sebelum menjumpai suspek sedang menyorok dalam keadaan ketakutan.

"Pengurusan pasar raya kemudian menghubungi polis sebelum suspek ditahan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) untuk siasatan lanjut," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 7:32 PM