Penggambaran iklan di Iceland pada awal Februari lalu.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Akibat memuat naik video pra-perkahwinan bersama pereka fesyen, Datuk Nadia Marni Mat Zin di akaun Instagramnya, pelakon Zoey Rahman dihujani ucapan tahniah oleh rakan dan peminat yang menyangka dia bakal menamatkan zaman bujang.

Bagaimanapun Zoey ketika dihubungi Harian Metro menafikan dia bakal berkahwin dengan wanita itu.

“Saya minta maaf jika video yang dimuat naik itu mengundang salah faham banyak pihak. Ia sebenarnya penggambaran untuk iklan.

“Saya dan Nadia membintangi iklan itu yang menjalani penggambaran di Iceland pada awal Februari lalu.

“Kami terkejut apabila menerima ucapan tahniah daripada orang ramai sedangkan kami hanya berkawan,” katanya.

Menurut Zoey, dia mengenali Nadia dua tahun lalu dan rasa cinta tidak pernah wujud.

“Buat masa ini, saya masih solo dan belum menemui cinta baru. Alhamdulillah, saya tetap bahagia biarpun masih solo sehingga sekarang. Nadia sudah saya anggap seperti kawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 6:03 PM