AFP

Manchester, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan beliau tidak bimbang mengenai penjaga gol Claudio Bravo (gambar) sekalipun penyokong kelab itu jelas kurang senang dengan persembahan pemain kebangsaan Chile itu ketika menang 5-1 ke atas Huddersfield Town dalam aksi Piala FA.

Bravo, yang digantikan oleh Willy Caballero sebagai pilihan utama di Etihad, membenarkan gol pembukaan oleh Harry Bunn melepasi celah kelangkangnya pada awal aksi ulangan pusingan kelima menentang kelab Liga Kejuaraan itu, awal pagi semalam.

Penyokong City menjerit secara sindiran apabila Bravo melakukan tindakan penyelamat yang kurang bermaya pada babak pertama dan sekali lagi pada hujung perlawanan apabila dia menyelamatkan satu rutin hantaran lintang.

Namun Guardiola, yang membayar £15.4 juta (RM84 juta) untuk mendapatkan khidmatnya dari Barcelona pada musim panas lalu, menegaskan persembahan Bravo menepati standard.

“Anda patut bertanya kepada penyokong (mengenai ejekan itu). Persembahan Claudio mengagumkan, tiada siapa mampu melakukannya,” kata Guardiola.

“Dia membaca permainan dengan baik. Tidak mudah untuk melakukannya kerana dia memberi kami peluang untuk bermain. Apa yang dilahirkan penyokong, saya tidak berada di sini untuk menilai mereka.

“Saya tidak bimbang mengenainya, dia cukup kuat. Dia antara yang terbaik. Tahun ini, dia dinamakan sebagai seorang daripada lima penjaga gol terbaik dunia.

“Orang tidak dapat bayangkan bagaimana seorang penjaga gol bekerja. Tapi saya tahu bagaimana media bekerja. Saya bangga dan gembira dia di sini bersama kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 7:56 AM