Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Sepang: Polis menahan seorang lagi suspek kes pembunuhan tiga sekeluarga di sebuah rumah teres setingkat di Taman Dengkil Jaya, Dengkil, Selangor yang berlaku pada 29 Ogos 2013.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, lelaki berkenaan ditahan pada jam 5.30 petang tadi.

"Penahanan suspek berusia 22 itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan Unit D8 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor," katanya kepada media di sini malam ini.

Suspek pertama berusia 20 tahun ditahan pada jam 9.30 malam semalam selepas mendapat maklumat dan berdasarkan siasatan yang dilakukan.

Pada 30 Ogos 2013, Harian Metro melaporkan tiga sekeluarga maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disembelih di sebuah rumah teres setingkat di Taman Dengkil Jaya.

Mangsa adalah seorang wanita warga emas dikenali sebagai Muniamah, 64, seorang cucu lelakinya dikenali sebagai Kugan, 21, dan cucu angkat Muniamah, Yamuni, 2, yang ditemui kira-kira jam 2.30 petang oleh seorang ahli keluarga mereka.

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan tikaman dan kelar senjata tajam masing-masing di leher, perut, dahi dan beberapa bahagian badan lain di ruang tamu serta bilik di rumah berkenaan.

Pada 8 September 2013, polis mengesahkan kes pembunuhan tiga sekeluarga itu dipercayai bermotifkan samun berikutan ada beberapa barang milik mangsa hilang dari rumah berkenaan, dan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan masih dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 10:24 PM