IHSAN PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Semporna: Wanita cedera ditikam pencuri yang masuk ke rumah disewanya di Taman Miramasa, di sini.

Mangsa berusia 27 tahun luka diperut akibat ditikam menggunakan pisau sayur saiz kecil, pada kejadian 2.05 pagi semalam.

Kejadian itu disedari rakan serumah mangsa selepas mengetuk pintu bilik rakannya itu sebelum terkejut melihat mangsa terbaring dalam keadaan cedera di bahagian perut.

Rakan mangsa kemudian menghubungi polis sebelum membawa mangsa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas, berkata susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan memberkas suspek pada hari sama, pada 1.20 tengah hari.

Katanya, suspek diberkas di sekitar pekan ini.

Menurutnya, polis turut merampas Perodua Kancil yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.

"Suspek berusia 32 tahun ditahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ketika melakukan samun. Mangsa yang dirawat di Hospital Semporna dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 6:58 PM