Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anak kedua Tan Sri Jins Shamsuddin, Hang Tuah atau Shazrin, 43, memaklumkan arwah bapanya tidak pernah mengabaikan tanggung jawab walaupun hubungan mereka tidak rapat.

Tuah berkata, sejak dilahirkan dia dibesarkan ibu saudaranya Hazizan Samsudin yang juga kakak kepada Jins di Taiping, Perak.

“Dulu ayah ada melawat saya dari masa ke semasa dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa. Dia juga selalu mengirimkan wang sehingga saya menyambung pengajian di universiti.

“Walaupun hubungan kami tidaklah terlalu akrab, tapi saya tetap sayangkan beliau sebagai seorang ayah.

“Biarlah apa orang nak cakap kerana hanya kami yang tahu perkara sebenar. Saya tahu dia sayangkan saya, namun mungkin dia tidak boleh tunjukkan perasaan kasih itu," katanya.

Tuah adalah anak kandung seniman veteran itu hasil perkahwinan keduanya dengan Jamilah Shukor, 63, pada 1973.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 4:34 PM