MOHD Rozi (tengah) menyampaikan replika kunci motosikal kepada Ketua Balai Polis Kota Setar, Inspektor Sallehuddin Mokhtar (kanan) di Majlis Penyerahan Motosikal Unit Ronda Bermotosikal (URB). FOTO Harul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Polis menahan 502 suspek pelbagai jenayah termasuk 429 daripadanya berkaitan dadah dalam dua bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, penahanan itu membabitkan 301 kes.

Ia adalah tindakan proaktif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terbabit bagi mencegah penyalahgunaan dadah selaras dengan jihad perangi dadah oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Asri Yusoff.

Katanya daripada jumlah itu, 82 tangkapan adalah berkaitan 53 kes Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 167 diberkas bagi 106 kes pengedaran.

"180 lagi suspek ditangkap bagi 142 kes memiliki dadah. Sepanjang dua bulan lalu 8.5 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dirampas iaitu 6,544.77 gram (heroin), 1,077.94 g (ganja), 906.1g (syabu) serta 1,616 pil yaba dan 243.20 g (daun ketum).

“Mereka yang ditangkap ini akan dihadapkan ke mahkamah agar menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

"Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Setar (BSJND) akan terus melakukan risikan dan memberi tumpuantangkapan kes-kes yang berkualiti terutama kes pengedaran dadah.

“Ia termasuk kejayaan BSJND menahan dua suspek kes pengedaran mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lapan Motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di IPD Kota Setar di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata, pasukan URB banyak membantu dalam pencegahahan jenayah apabila membuat 20 tangkapan termasuk kes Seksyen 39 B ADB 1952 pada Januari dan Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 2:00 PM