TERTUDUH dihukum penjara selepas menukar pengakuan di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Kepten dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan barangan berharga bernilai RM92,216, pada 2014.

Tertuduh Kepten Abdul Aziz Gaffor, 56, yang sebelum ini didakwa pada 9 September 2015 menukar pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S Indera Nehru.

Abdul Aziz didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan barangan berharga iaitu jam tangan jenama Rolex bernilai RM57,071 dan telefon bimbit jenama Vertu bernilai RM37,145 sebagai balasan daripada Hussin Roslim@Roslind, yang mana syarikat berkenaan mempunyai kepentingan hubungan kerja rasmi dengan tertuduh diantara Mac hingga Disember 2014.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM di Lumut dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Indera kemudiannya menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara serta denda RM40,000 bagi setiap pertuduhan dan tambahan lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan namun hukuman penjara berjalan serentak mulai hari ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Norzilati Izhani Zainal@Zainol dan Abdul Rashid Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Zamri idrus, Collin Andrew dan Fadly Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 1:33 PM