LAXMI gigih bekerja untuk menyekolahkan anaknya.
BATULI masih terus bekerja walaupun usianya sudah mencecah 60 tahun.
SUSHMITA juga antara pendayung sampan wanita di Tasik Phewa yang memecah monopoli lelaki.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Batuli Bhujel mendayung sampannya perlahan-lahan di celah sampan berwarna-warni. Sebaik tiba di tepi tasik, dengan segera dia mengikat sampannya dan membantu penumpang turun.

Sudah bertahun-tahun Batuli menjadi pendayung sampan, mengerah kudratnya membelah Tasik Phewa di barat Nepal untuk membawa pelancong menikmati keindahan pemandangan pergunungan Himalaya yang ‘bertatah’ salji.

Namun kini, wanita berusia 60 tahun itu mula tertanya-tanya, sampai bila dia mampu bertahan. Wanita warga emas itu mengakui dia tidak segagah dulu.

“Apabila seluruh badan terasa sakit, saya terpaksa berehat sehari dua. Kalau ada sumber pendapatan lain, saya tidak akan buat kerja ini,” katanya sambil mengukuhkan ikatan sampannya.

Dia antara 30 wanita yang memberanikan diri bersaing dengan 250 pengayuh sampan lelaki di Tasik Phewa, salah satu tarikan pelancongan utama di Pokhara - bandar resort 150 kilometer dari Kathmandu.

Walaupun kerjanya berat, bekerja di tasik memberikan kebebasan kepada wanita seperti Batuli apatah lagi di Nepal apabila wanita masih dianggap perlu mengabdikan diri kepada keluarga suami selain hak mereka untuk mendapat pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pekerjaan sering diketepikan.

Lebih menyedihkan, sampai sekarang masih ada ibu bapa khususnya di kawasan pedalaman yang berpegang kepada kepercayaan tidak berguna menyekolahkan anak perempuan kerana mereka akan tinggal bersama suami dan keluarga mentua selepas berkahwin.

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), walaupun jumlah kehadiran ke sekolah semakin meningkat, hanya 66 peratus remaja perempuan meneruskan persekolahan di peringkat menengah berbanding 74 peratus remaja lelaki.

Lali dihina

Seperti pendayung wanita di tasik itu, Laxmi Nepali juga tidak pernah bersekolah. Dia berkahwin pada usia 15 tahun. Dia antara 40 peratus wanita Nepal yang berkahwin sebelum mencecah usia 18 tahun walaupun had umur yang dibenarkan mendirikan rumah tangga ialah 20 tahun.

Selepas melahirkan anak pertama (lelaki) pada usia 18 tahun, suami meninggalkannya. Malang bertimpa apabila ibu bapanya sendiri mengambil anaknya tetapi tidak mahu menerima kehadirannya dalam keluarga.

“Siapa tidak sedih apabila dibuang oleh ibu bapa sendiri tetapi saya cuba bertahan,” kata Laxmi.

Perkahwinan keduanya juga menemui kegagalan dan dia ditinggalkan bersama anak perempuannya yang kini berusia 10 tahun.

Mujurlah Persatuan Bot Phewa yang mengendalikan penyewaan sampan di Tasik Phewa dan Tasik Begnas membenarkan sesiapa saja berumur 16 tahun ke atas untuk menjadi pendayung sampan walaupun tidak mempunyai latihan. Malah ia menawarkan bayaran yang sama antara pendayung wanita dan lelaki.

Walaupun layanan yang diberikan persatuan itu sama, sering kali wanita berdepan dengan diskriminasi daripada rakan sekerja dan penumpang.

Penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada lelaki Nepal kadangkala tidak mahu menaiki sampan yang dikendalikan wanita.

“Perkara pertama yang mereka lakukan ialah merenung muka saya. Ada sesetengahnya yang menunjukkan wajah tidak senang dan terus pergi ke sampan lain. Ada yang berkata mereka tidak mahu naik sampan dengan perempuan tua seperti saya.

“Memang rasa sedih apabila dilemparkan dengan kata-kata yang menyakitkan hati, tetapi apa yang boleh saya lakukan?” soalnya.

Menurut Laxmi, dia sudah lali dihina. Malah dia juga sudah biasa diejek. Dia masih ingat peristiwa sekumpulan remaja lelaki yang tidak mahu mengupahnya hanya kerana dia wanita. Namun akhirnya mereka mengalah selepas ada yang berkata ‘Dari segi luaran, dia memang nampak macam perempuan, tetapi kekuatannya macam lelaki’.

Pada 2015, Laxmi bertanding dengan pendayung lelaki dalam perlumbaan sampan di Tasik Begnas. Siapa sangka, wanita ini memenangi tempat kedua yang menawarkan hadiah 3,000 rupee (RM125) - enam kali ganda pendapatan hariannya.

“Sejak itu mereka mula menghormati saya, termasuk di sini,” kata Laxmi yang mengenakan pakaian tradisional kepada wartawan Reuters.

Pendapatan

Tidak seperti wanita lain yang mendayung sampan kecil untuk enam penumpang, Laxmi mengendalikan sampan yang lebih besar. Bermakna, pendapatannya juga lebih sedikit berbanding orang lain.

Bayaran yang dikenakan untuk pelancong adalah 500 rupee sejam (RM22) dan juragan atau pendayung sampan hanya menerima 100 rupee (RM4.40).

Pendayung sampan wanita ini berharap mereka boleh dapat sekurang-kurangnya 500 rupee sehari, termasuk tip. Namun ada kalanya mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Apabila tidak ramai pelancong, biasanya Batuli, Laxmi dan lainnya hanya dapat pelanggan dua atau tiga hari sekali.

Daripada pemerhatiannya, pelancong asing ramai yang kedekut untuk memberi tip.

“Kalau mereka boleh bercakap dalam bahasa Nepal, kami akan beritahu tip yang diberikan 10 atau 20 rupee tidak cukup pun untuk beli secawan teh. Tetapi mereka tidak faham. Kami pula tidak boleh bercakap dalam bahasa mereka, jadi terpaksalah terima berapa saja yang diberi,” katanya.

Untuk menambah pendapatan terutama selepas bencana gempa bumi pada 2015 yang menyebabkan kemerosotan kedatangan pelancong, ramai pendayung sampan wanita ini melakukan beberapa kerja pada satu masa. Ini termasuk bekerja di tapak pembinaan, memecah dan mengangkat batu.

“Saya rasa seperti jadi lelaki. Bahkan hati saya juga rasanya seperti lelaki,” kata Laxmi yang sedar kepentingan pendidikan untuk membawa dia dan anaknya keluar daripada kemiskinan. Oleh itu, tidak kira sesukar manapun, dia tetap kuatkan hati bekerja.

Walaupun sekolah kerajaan percuma, ibu bapa masih perlu membeli pakaian seragam sekolah dan alat tulis. Bahkan kadangkala mereka juga dikehendaki membayar yuran kemasukan dan peperiksaan tahunan.

“Saya tidak pernah mengimpikan apa-apa untuk diri sendiri. Tetapi saya mahu memberikan pendidikan kepada anak supaya dia boleh berjaya. Saya mahu apabila orang tengok anak saya, mereka kata saya sudah berjaya membesarkannya menjadi insan berguna. Hanya itu impian saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 11:24 AM