KEMUDAHAN wakaf disediakan kepada pengunjung untuk berehat.
LALUAN mendamaikan dikelilingi hutan sesuai untuk pengunjung merehatkan minda.
KEMUDAHAN chalet turut disediakan kepada pengunjung yang berhasrat untuk bermalam.
KOLAM renang disediakan kepada pengunjung terutama kanak-kanak.
Syed Ismail Syed Abu Bakar
rencana@hmetro.com


Keindahan hutan di Taman Negeri Bukit Panchor, Nibong Tebal, Pulau Pinang membuatkan ia terkenal sebagai destinasi ekopelancongan yang menggamit kehadiran pengunjung untuk menerokai khazanah alam.

Mungkin kerana kedudukannya agak tersorok, namanya kurang popular walaupun memiliki kawasan hutan menarik dan berpotensi menjadi destinasi pelancongan.

Pemuliharaan hutan di negeri itu perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia antara sumber ekonomi.

Taman Negeri berkeluasan 445 hektar dengan paras tertinggi mencecah 41 meter perlu terus dipromosikan supaya menjadi tumpuan sebagai pusat riadah bukan saja dalam kalangan penduduk setempat, malah pengunjung luar.

Pengunjung berpeluang menikmati pesona lokasi yang penuh dengan kedamaian dan membuka ruang kepada orang ramai untuk merehatkan minda ke arah menyampaikan kecintaan mereka terhadap alam sekitar.

Taman Negeri Bukit Panchor menyediakan pakej perkhemahan di kawasan Sungai Buaya yang menarik dan mampu menampung kehadiran 200 pengunjung pada satu-satu masa, sekali gus menjadikan lokasi pilihan kepada kumpulan termasuk pelajar mengadakan program di kawasan itu.

Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas untuk aktiviti bersama keluarga dan berkumpulan termasuk menawarkan penjelajahan hutan paya dengan flora serta fauna yang belum terusik.

Taman Negeri ini turut menawarkan kegiatan penjelajahan menjejaki gua dan alur sungai mencabar seperti Gua Kelawar mempunyai populasi pelbagai spesis kelawar, sekali gus menuntut ketahanan fizikal kalangan pengunjung yang mahu menyahut cabaran itu.

Koleksi flora dan fauna masih terpelihara di Taman Negeri Bukit Panchor itu turut dijadikan rujukan dan pembelajaran kepada kumpulan penyelidik bidang berkaitan.

Taman itu turut menawarkan pakej cabaran hutan melalui denai mengambil masa kira-kira 90 minit yang akan membawa pengunjung untuk meneroka beberapa gua seperti Gua Tongkat dan Gua Kelawar selain menikmati keindahan aliran sungai mengalir di kawasan bukit dipenuhi tumbuhan herba.

Bagaimanapun, pengunjung perlu mendapatkan keterangan dan panduan daripada pejabat Renjer sebelum menjalankan sebarang kegiatan ekspedisi mencabar di kawasan berkenaan.

Pengunjung yang berhasrat bermalam bagi menjalankan kegiatan perkhemahan pula tidak perlu risau kerana pelbagai kemudahan asas disediakan seperti tempat memasak, tandas, bekalan air dan elektrik.

Kawasan perkelahan luas dengan kolam untuk pengunjung mandi-manda adalah lokasi paling popular terutama ketika hujung minggu dan cuti penggal persekolahan dilengkapi wakaf, meja serta bangku rehat.

Seorang pengunjung, Intan Ahmad, 42, mengakui kawasan itu memiliki hutan menarik dan mampu dimajukan sebagai destinasi pelancongan alternatif di negeri ini.

“Kali pertama saya singgah ke sini selepas pulang dari kampung di Kuala Kurau, Perak dan tidak sangka ada lokasi menarik seperti ini untuk anak mandi-manda.

“Pada saya kawasan Taman Negeri Bukit Panchor ini masih asli dan perlu dipelihara keindahannya kerana mampu diketengahkan sebagai destinasi ekopelancongan baharu di Nibong Tebal khasnya dan Pulau Pinang amnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 10:45 AM