MAYAT mangsa nahas QZ8501 tiba di Pangkalan Bun. FOTO AFP

Pangkalan Bun: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Lekir menemui satu lagi mayat mangsa nahas AirAsia Indonesia QZ8501 manakala enam lagi dijumpai oleh kapal USS Sampson, hari ini menjadi jumlah yang ditemui setakat ini sebanyak 16 mangsa.

Menurut laporan detikNews, Panglima Komando Armada Wilayah Barat Laksamana Muda Widodo berkata, KD Lekir akan menghantar mayat itu ke KRI Banda Aceh sebelum diterbangkan dengan helikopter ke Pangkalan Bun.

Kapal USS Simpson pula akan menghantar mayat berkenaan ke Pangkalan Bun, katanya.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keenam hari ini dan memberi tumpuan utama kepada misi pencarian badan pesawat dan kotak hitam.

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Henry Bambang Soelistyo berkata, dua perkara berkenaan akan menjadi fokus pencarian pada hari ini.

"Hari ini kita akan memberi tumpuan utama kepada mencari bahagian besar badan pesawat.

"Malah, kita juga akan berusaha mencari di mana lokasi kedudukan sebenar kotak hitam," katanya.

Cuaca di Lapangan Terbang Pangkalan Bunhari ini cukup baik meskipun berlaku hujan renyai sekali sekala manakala kawasan pencarian masih bergelora dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3 meter, katanya.

Justeru, pasukan mencari dan menyelamat berharap dapat memaksimumkan kerja pemindahan untuk hari keenam, katanya.

“Ramalan cuaca hari ini cukup baik sehingga tengah hari. Namun cuaca dijangka kembali merosot di sebelah petang dan malam.

“Berikutan itu, usaha mencari oleh pasukan penyelam akan disegerakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 1:38 PM