Selat Karimata : Sebanyak 47 penyelam tiba di Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Banda Aceh di perairan Selat Karimata, Pangkalan Bun, hari ini.

Kumpulan penyelam daripada Komando Pasukan Katak (Kopaska), Dinas Penyelam Bawah Air (Dislambair), dan pasukan Marin tiba pada 8 pagi dari Teluk Kumai.

Sebelum ini, 10 anggota Kopaska belayar bersama KRI Banda Aceh dari pelabuhan Tanjung Priok dan sehingga kini 57 penyelam sudah berada di atas kapal itu.

Selepas ini, KRI Banda Aceh akan menuju ke lokasi pesawat terhempas untuk melakukan pencarian.

Perairan di lokasi itu sedalam 35 meter dan penyelam mampu menyelam sehingga 45 meter selama 15 minit.

Pasukan penyelam yang pertama akan melakukan pencarian terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan di dalam air sekali gus memasang tali untuk penyelam selanjutnya.

Selepas itu, pasukan seterusnya akan menggunakan tali itu untuk membawa naik mayat mangsa yang kebanyakannya dipercayai tersepit di kerusi masing-masing. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 12:19 PM