Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Hulu Klang: "Ketika ayah belum jatuh sakit, dia banyak berpesan kepada saya supaya jaga mak dan jaga keluarga," kata Putera Hang Jebat, 30, anak kepada Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, 81.

Kali terakhir dia menemui ayahya itu adalah ketika menjemput anaknya di rumah keluarga mereka di Kampung Pasir, di sini semalam.

"Masa ambil anak saya semalam adalah kali terakhir saya dapat bersalaman dengan arwah ayah.

"Ayah orang yang tak banyak cakap, jadi kami perlu tafsir sendiri apa yang dia nak daripada kita," katanya malam tadi.

Selain Jebat, Allahyarham mempunyai seorang lagi anak lelaki, Putera Hang Nadim, 26, hasil perkongsian hidup dengan Puan Sri Halijah Abdullah, 56.

Allahyarham pelakon dan pengarah veteren itu meninggal dunia di sebuah klinik di Taman Melawati, dipercayai akibat sesak nafas selepas minum petang di rumahnya 5.45 petang.

Jenazah Jins akan disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan, di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam masjid 11 pagi ini.

Sementara itu, penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash yang turut menziarahi keluarga Allahyarham menyifatkan pengalamannya berlakon bersama Allahyarham sebagai sangat indah dan berharga.

Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias melakonkan watak anak kepada Allahyarham dalam filem Memory pada 1991 bersama Fauziah Ahmad Daud.

"Tan Sri (Jins Shamsuddin) adalah orang yang sangat teliti dan banyak kali juga pengarah minta berhenti kerana saya berasa gugup.

"Gugup kerana berlakon dengan orang yang sangat tinggi pengalamannya. Tetapi saya bersyukur pada ketika hayat Tan Sri, saya berpeluang duduk, makan bersama dan berbual mesra," katanya.

Nash berkata, keadaan pelakon dan pengarah veteren itu yang menghidap Alzheimer juga mengingatkannya mengenai watak Allahyarham dalam filem Memory.

"Pada saat Tan Sri melalui dugaan hilang ingatan saya teringat filem Memory lakonan saya bersama dengan Tan Sri yang membawakan watak ayah saya yang hilang ingatan.

"Saya rasa sebak dengan pemergiaannya kerana dia adalah sebutir bintang yang sangat berharga. Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham mewakili Yayasan Artis 1 Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 12:19 AM
Jenazah Jins akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan 11 pagi ini. FOTO Zunnur Al Shafiq