Pemain T-Team Mohamad Kamal (kanan) cuba menghalang pemain Felda United Zan Rahan Krangar. FOTO BERNAMA
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: T-Team gagal meraih tiga mata selepas seri 0-0 dengan FELDA United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Bermula awal babak pertama, Felda United memperolehi peluang mencipta jaringan m-5 melalui percubaan penyerang pinjaman dari kelab Argentinos Juniors Lucas Matias Cano tetapi ditepis penjaga The Titans, Mohd Suhaimi Husin.

Selepas percubaan pertama itu kedua-dua pasukan bagaikan kering idea tanpa sebarang percubaan dan gerakan menarik malah aksi kurang bertenaga disajikan dua pasukan membosankan peminat yang hadir.

Percubaan kedua hadir m-32 sekali lagi menerusi Cano yang mendapat peluang keemasan di dalam kotak penalti hasil kesilapan barisan pertahanan The Titans tetapi tendangan leret pemain itu terus kedakapan penjaga gol.

Tersentak dengan asakan pelawat itu, pemain tuan rumah memperkemaskan gerakan dan pada minit ke-37 gawang pelawat dibocori namun jaringan Mamadou Samassa selepas mendapat hantaran menerusi tandukan dibatalkan kerana pengadil mendakwa pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Bersambung babak kedua aksi kedua-dua pasukan lebih menarik dengan banyak percubaan ke arah gol namun masih buntu meledak jaringan pendahuluan.

Percubaan terbaik The Titans hadir m-61 menerusi rembatan kencang pemain gantian Mohammad Ramzi Sufian tetapi penjaga gol Mohd Farizal Harun bijak untuk menampan bola itu daripada membolosi gawangnya.

Pasukan The Fighters mendapat peluang terhidang menerusi sepakan leret Mohd Fazrul Hazli Kadri pada minit ke-63 diselamatkan penjaga gol.

Pelawat beraksi dengan 10 pemain m-78 selepas pertahanan Mootaz Bellah EL Jounaidi dilayangkan kad merah mengasari Farhod Tadjiev.

Bagaimanapun, kelebihan itu gagal dimanfaatkan anak buah Rahmad Darmawan sehingga tamat permainan berkesudahan 0-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 11:53 PM