NOKIA 3310
BLACKBERRY KeyOne
LG G6
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Tiga produk mencuri tumpuan Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2017 yang kini berlangsung di Barcelona, Sepanyol. Antaranya.

1. Nokia 3310

Nokia mengembalikan kegemilangan model 3310 dengan mengubah sedikit reka bentuk ikoniknya serta kali ini datang dengan skrin berwarna.

Ia datang dengan skrin 2.4 inci format 320 x 240 piksel dan lebih nipis berbanding model pertama yang dikeluarkan 17 tahun lalu.

Dengan skrin berwarna, Nokia 3310 mempunyai kenipisan 12.8 milimeter dan berat 79.6 gram.

Sebelum ini, Nokia 3310 setebal 22 millimeter dan seberat 133 gram.

Selain itu, permainan Snake yang menjadi ikon 3310 juga akan dikekalkan dengan operasi telefon menggunakannya Series 30+.

Kali ini, 3310 akan datang dengan warna termasuk hijau, merah dan kuning, malah rekaannya lebih ringan berbanding model terdahulu.

Ia ditawarkan pada harga sekitar RM280.

2. Blackberry KeyOne

Blackberry yang sudah diambil alih syarikat China, TCL Communications melancarkan telefon pintar KeyOne yang mengekalkan papan kekunci QWERTY ikonik dan beroperasi pada Android 7.1 Nougat.

Pelancaran telefon terbabit sempena Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2017 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol. Ia mempunyai skrin 4.5 inci HD penuh bersama kamera Sony 12 megapiksel di belakang dan lapan megapiksel untuk kamera depan.

Telefon Android paling selamat di dunia itu dipasang sistem keselamatan DTEK dan lengkap sistem cas pantas iaitu 50 peratus dalam masa 36 minit.

Menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 625, RAN 3GB RAM dan storan 32GB, KeyOne mempunyai rekaan yang klasik meskipun tidak menyamai model terdahulu.

KeyOne akan dijual bermula April ini pada harga USD549 dan Malaysia antara negara pertama menerima produk ini.

3. LG G6

LG secara rasmi memperkenalkan model G6 yang cuba memasuki pasaran telefon kamera berkembar.

Buat pertama kali dalam sejarahnya, LG menampilkan ciri IP68 yang membolehkannya kalis air.

G6 memperlihatkan komponen seperti USB C dan port audio 3.5mm di bawah serta atas telefon terbabit.

Tinjauan IT@Metro mendapati ia menampakkan bahagian belakang telefon dengan menempatkan dua kamera, lampu flash dan pengimbas cap jari.

Berbanding LG G5, bahagian bawah menyaksikan pembesar suara dan mikrofon bertukar kedudukan selain kelihatan jalur antena.

Sementara itu, pada bahagian belakang, permukaan aluminium berkilat menampakkan kemasan dengan pengimbas cap jari telefon yang turut bertindak sebagai butang kuasa.

Pada aspek spesifikasi, ia bakal menggunakan cip Snapdragon 821 dan panel paparan beresolusi QHD 5.7 inci.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 5:00 PM