KOLEKSI Serai terbaru.
KURUNG moden dwifungsi koleksi Serai.
BAJU Melayu koleksi Serai sesuai untuk padanan kasual.
COMEL dengan koleksi Paddy.
CIRI etnik ada pada setiap rekaan Pokoks.
PADANAN tradisional moden dengan sentuhan kasual.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Bergaya sedondon ibu dan anak mungkin agak ketinggalan zaman. Puas memilih corak, fabrik dan potongan sama, mungkin kali ini ibu boleh menimbangkan fesyen berbeza, lebih fleksibel dan selesa untuk menggayakan si comel tersayang.

Jenama pakaian untuk si kecil, Pokoks bukan semata-mata menawarkan pilihan pakaian terkini untuk bayi dan kanak-kanak yang menarik, selesa serta pelbagai fungsi, namun pengasas jenama ini cukup menggamit perhatian.

Menampilkan tiga koleksi tradisional moden yang unik, pengasasnya juga pereka fesyen wanita dari Shanghai, China yang berjiwa Melayu, Kim Jessica.

Menurut Kim, cintanya kepada busana tradisi Melayu, kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia berbunga sejak kali pertama menjejakkan kaki ke negara ini pada 2008. Dia kemudian mula bereksperimen dengan fabrik kapas dengan memberi fokus kepada potongan tradisional, sopan serta selesa.

“Di sini saya mengenali definisi sebenar elegan. Ia adalah fesyen yang menutup hampir seluruh tubuh, sopan dan cantik dipandang. Lebih sopan pakaian dikenakan, lebih elegan imej pemakai.

“Selepas koleksi Tropical mendapat sambutan tahun lalu, kami bawakan pula koleksi kasual Paddy dan terbaru ialah Serai. Semua koleksi ini menggunakan fabrik kapas premium, kapas linen dan kapas spandeks.

“Rekaan busana hasil idea saya sendiri, eksklusif untuk Pokoks saja,” katanya yang turut mempunyai pelanggan dari serata dunia termasuk Singapura, Brunei, Hong Kong, Korea, Jepun dan Australia.

Berbeza dengan jenama lain, Kim mengakui dia lebih suka menghasilkan sesuatu yang bercirikan Melayu, namun diberi sentuhan moden sehingga boleh disesuaikan dengan pelbagai acara, kehendak serta keperluan.

“Di negara ini, fesyen perayaan untuk kanak-kanak tidak banyak yang bersifat dwifungsi. Baju kurung dan baju Melayu umpamanya, dibeli dan dipakai hanya untuk majlis rasmi, kenduri serta meraikan Aidilfitri.

“Namun Pokoks menawarkan lebih daripada itu. Sepasang baju kurung moden daripada mana-mana koleksi boleh digayakan dengan kain atau palazo untuk apa saja keraian atau sekadar melengkapkan gaya kasual.

“Begitu juga baju Melayu daripada koleksi Serai. Bajunya boleh digayakan sedondon dengan seluar, lengkap bersama sampin untuk Aidlfitri atau kenduri. Selepas itu, baju sama juga boleh dipadankan dengan jean untuk gaya kasual atau seluarnya dijadikan pelengkap kemeja-T.

“Apabila saiz anak semakin membesar, baju Melayu yang sama boleh diwarisi adik lelaki atau perempuan dengan gaya tersendiri. Cara ini lebih menjimatkan berbanding membeli sepasang pakaian hanya untuk digayakan sekali,” katanya.

Selain kurung dan baju Melayu, Pokoks juga menjadi pilihan ramai ibu bapa yang mahu mendapatkan jubah, palazo, seluar potongan tirus, blaus ringkas dan set pakaian kasual bagi saiz seawal 10 bulan hingga 12 tahun.

“Kami sentiasa komited untuk menyediakan pakaian selesa, cantik, menarik dan unik untuk pilihan ibu bapa di seluruh dunia. Bayangkan pada sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, kami menerima tempahan yang sangat tinggi.

“Seorang pelanggan dari Hong Kong menghantar gambar anak mereka yang mengenakan set baju Melayu ketika sambutan perayaan itu.

“Ini antara sasaran saya. Kami bukan sekadar mahu menaikkan jenama Pokoks, tetapi mengantarabangsakan pakaian tradisi Melayu ke pentas dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 11:37 AM