TSG harap nasib menyebelahi mereka.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Rembau: Barisan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) menanam tekad tinggi untuk melakar penamat positif pada hari terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017.

Pencapaian terbaik setakat ini hadir menerusi kapten TSG Mohd Zamri Saleh yang muncul pemenang tempat ketiga pada peringkat ketiga dari Serdang ke Pantai Remis, Jumaat lalu.

“Sudah pasti kami akan berusaha mencapai sesuatu positif, seboleh-bolehnya memenangi peringkat terakhir esok (hari ini). Kami tidak akan berputus asa selagi perlumbaan belum berakhir.

“Saya melihat kami sudah mendapat rentak namun nasib masih belum menyebelahi kami. Harap kami dapat melakukan sesuatu esok (hari ini). Sekiranya perancangan berjalan dengan baik, saya tidak nampak masalah untuk kami melakar kejayaan,” menurut Shahrul Mat Amin.

Jelasnya pada peringkat ketujuh di Rembau semalam, keadaan hujan sebelum perlumbaan berakhir memberikan sedikit kesukaran kepada Zamri dan Anuar Manan berada pada posisi terbaik untuk melakukan pecutan.

Shahrul mengekalkan kedudukan sebagai pelumba terbaik Malaysia selepas mula menyarungnya sejak peringkat kedua.

“Sasaran awal adalah jersi Asia yang TSG menang tahun lalu namun jurang masa yang terlampau jauh pada peringkat pertama memberikan kami kesukaran.

“Bagaimanapun saya akan cuba mengekalkan kedudukan sebagai pelumba terbaik tempatan esok (hari ini). Saya berharap tidak berdepan masalah dengan basikal dan mampu menamatkan perlumbaan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 8:11 AM