Anuar dan Munirah johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Perak. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Bekas johan qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, Dr Anuar Hasin dinobat sebagai johan qari pada Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Perak 2017 malam ini.

Pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM7,500, plak, sijil,hadiah iringan serta pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.

Qariah pula dimenangi Munirah Razali yang juga ustazah di Sitiawan, manjung yang turut membawa pulang hadiah sama.

Kedua-dua qari dan qariah akan mewakili Perak ke tilawah peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Melaka pada 2 hingga 8 April ini.

Bagi hafazan pula, kategori juzuk 1 hingga 30, johan disandang Muhammad Hanzalah Ahmad Sukry dan hafizah pula dirangkul Siti Hawa Dzulkifli.

Johan membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000, hadiah iringan, sijil serta pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.

Kategori juzuk 1 hingga 20, johan dimenangi Muhammad Dzulfaqor Mohd Zaine dan Aiza Nabilah Ahmad Khairuddin (hafizah), masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, sijil serta hadiah iringan.

Kategori juzuk 1 hingga 10, johan hafiz adalah Muhammad Syamin Hamdan dan hafizah Puteri Balqis Roslan yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil serta hadiah iringan.

Majlis kali ini membabitkan penyertaan 128 pelajar dari seluruh negeri dan 26 daripadanya terpilih ke peringkat akhir selepas melalui tiga peringkat penilaian.

Kesemua hadiah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak 2017 di Pusat Konvensyen Amanjaya, di sini malam ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut berkenan berangkat, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 11:59 PM