ALOR SETAR 28 FEBRUARY 2017. Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) melawat pameran ketika hadir untuk mendengar taklimat mengenai pembangunan Negeri Kedah di Wisma Darulaman.NSTP/AMRAN HAMID
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat ke taklimat pembangunan negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini yang bertujuan mempersembahkan laporan projek sudah dan akan dilaksanakan di Kedah.

Turut hadir mendengar taklimat itu Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah; Tan Sri Tunku Intan Safinaz dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafudin Badlishah Tunku Sallehuddin.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Badshah Md Hanipah.

Sultan Abdul Halim turut berkenan melawat Pameran Pembangunan Negeri yang diadakan di Lobi Aras Bawah Blok E Wisma Darul Aman yang bermula hari ini hingga 30 April ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din berkata, laporan pelaksanaan projek lebih menjurus kepada projek yang dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan projek yang akan dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Menurutnya, antara cadangan projek yang dipersembahkan dan menarik perhatian baginda adalah Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Skim Pemindahan Air Jeniang.

"Projek KXP adalah projek mega yang direncana bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di selatan Kedah dan diharap wajar diberi pertimbangan dan kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Projek Skim Pemindahan Air Jeniang pula sebuah projek yang diluluskan dalam RMK11 sebagai pelengkap kepada Empangan Beris," katanya dalam satu kenyataan media.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 12:37 PM